suria

Krisis Perak: BN tercabar, mahu cabar keputusan Speaker

Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir (kanan) mempengerusikan mesyuarat Exco pertama beliau bersama enam ahli Exco di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh, semalam --foto THESTAR oleh SAIFUL BAHRI
Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir (kanan) mempengerusikan mesyuarat Exco pertama beliau bersama enam ahli Exco di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh, semalam --foto THESTAR oleh SAIFUL BAHRI
Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir (kanan) mempengerusikan mesyuarat Exco pertama beliau bersama enam ahli Exco di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh, semalam --foto THESTAR oleh SAIFUL BAHRI

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain menghadiri sidang Dewan selama 18 bulan adalah keputusan yang tidak sah, kata Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pagi tadi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN dan Perdana Menteri meminta Zambry membuat laporan polis berhubung keputusan Speaker.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sivakumar boleh dianggap melanggar titah dan menderhaka kepada Sultan Perak.

"Jangan perkecilkan Tuanku dan jangan mengundang permasalahan dengan Tuanku dan pihak istana kerana kami di Perak berasa cukup tercabar," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak. berkata Sivakumar tidak boleh melihat hanya daripada aspek perundangan sahaja tetapi perlu mengambil kira kesetiaan kepada sultan.

Mengulas tindakan yang wajar diambil terhadap Sivakumar, beliau berkata, ia bergantung kepada perbincangan dengan Penasihat Undang-undang Umno dan Barisan Nasional dalam tempoh masa terdekat.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahary, Sivakumar telah membuat satu keputusan di luar bidang kuasanya sebagai Speaker.

“Dia (Sivakumar) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN tidak boleh bertindak sedemikian.

"Jawatankuasa itu berperanan menjatuhkan hukuman kepada Exco yang punya masalah disiplin atau tingkahlaku tapi dia telah melangkaui bidang kuasa itu ketika menjatuhkan hukuman sedemikian.

“Kerajaan Barisan Nasional di Perak sepakat mengatakan keputusan yang dibuat oleh Speaker Sivakumar tidak sah,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kuala Kangsar berkata, Menteri Besar serta enam Exco yang digantung itu boleh menghadiri mesyuarat DUN seperti biasa.

“Mereka (MB dan Exco) boleh hadir mesyuarat DUN macam biasa tiada masalah. Umno dan kerajaan BN sedang meneliti apakah langkah dan kaedah yang boleh diambil untuk menafikan keputusan Speaker. Perkara tersebut akan turut dibincangkan dalam mesyuarat Umno Negeri dalam tempoh masa terdekat.

“Apa langkah yang bakal diambil saya tidak boleh maklumkan sekarang, Tunggu sehingga kami selesai bermesyuarat,” katanya.

BERITA TERDAHULU

MB Perak, 6 Exco digantung: Buat laporan polis, kata PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir membuat laporan polis berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar itu dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Abdullah berkata, beliau telah bercakap dengan Dr Zambry berhubung penggantungannya itu dan berpendapat beliau harus membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Katanya, Dr Zambry juga mempunyai pendapat yang sama dengan beliau.

Semalam, Sivakumar semalam mengenai keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh Speaker DUN Perak itu menggantung dan melarang Zambry serta enam anggota exconya daripada menghadiri sidang dewan antara 12 dan 18 bulan berkuatkuasa serta-merta kerana mendakwa tindakan Zambry dan enam exco itu mengangkat sumpah jawatan mereka adalah bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri serta menghina DUN.

Abdullah berkata, tindakan Sivakumar itu adalah membantah dan menentang keputusan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri Perak bagaimanapun akan terus berfungsi dan menjalankan pentadbiran sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat dan sebagai kerajaan yang sah.

"Speaker tidak boleh menghalang. Pelantikan MB dan exco diperkenan oleh Sultan dan (mereka) mengangkat sumpah di hadapan baginda. Mereka dilantik secara sah.

"Maka, bagi saya, tindakan spekaer itu boleh disifatkan sebagai tidak menghormati keputusan Sultan Perak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Bagi Kenakkanak gaza di kediamannya, Seri Perdana, di sini hari ini.

Abdullah berkata tindakan speaker itu sebagai satu cara untuk mengguling kerajaan Barisan Nasional di Perak.

"Kita tahulah apa dia punya rancangan dan muslihat sebenarnya. Apabila dewan bersidang dan jika exco itu tidak boleh hadir, bermakna pihak BN tinggal 21 ahli, dan jika ada undi, mereka berharap kemenangan akan berpihak kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Ia satu muslihat...tidak ada niat baik, cuma niatnya untuk menggulingkan kerajaan BN yang telah diwujudkan," katanya.

Abdullah berkata, kerajaan BN di Perak tidak bercadang untuk mengadakan pilihan raya sebagai cara untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu tetapi akan terus memerintah demi rakyat di negeri berkenaan.

"Dalam situasi yang ada sekarang ini, saya fikir lebih baik sekiranya kerajaan BN terus dengan pemerintahannya. Buatlah apa yang boleh untuk rakyat negeri Perak," kata Perdana Menteri.

Katanya kedudukan kerajaan negeri juga boleh stabil dan yang penting, apa yang diharapkan oleh rakyat akan dapat dilaksanakan.

Abdullah berkata tindakan Sivakumar itu tidak disenangi rakyat negeri Perak.

"Mereka tentu sekali tidak senang hati dengan apa yang berlaku sehingga ke peringkat ini. Dulu bila mereka (pembangkang) menang, kita beri jalan kepada mereka untuk memerintah. Apabila situasi telah berubah dan sokongan kepada BN telah melebihi, maka BN pula yang akan memerintah.

"Saya harap kerajaan tidak akan diganggu dengan permainan politik untuk apa jua niat dan tujuan mereka itu," katanya.

Dalam pada itu, beberapa anggota Kabinet menyifatkan tindakan Speaker itu sebagai bukti penyalahgunaan kuasa yang begitu teruk.

"Nasib baik mereka ini tidak berkuasa di peringkat pusat. Yang pasti kalau mereka mendapat kuasa yang lebih besar, banyak lagi penyalahgunaan kuasa akan dilakukan," kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri hari ini.

Semalam, Sivakumar mengumumkan tindakan itu melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Perak yang beliau pengerusikan.

Speaker DUN Perak menderhaka kepada Sultan, Khir Toyo

Ahmad Shabery berkata, tindakan yang boleh diambil oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan adalah sama seperti dalam Dewan Rakyat berkaitan dengan ucapan dan tindakan yang dibuat dalam dewan dan bukannya digunakan untuk mengambil tindakan terhadap perkara yang berlaku di luar dewan.

"Kebiasaannya, jawatankuasa itu mencadangkan kepada dewan untuk mengambil tindakan, dan akhirnya yang mengambil tindakan adalah semasa sidang DUN atau Dewan Rakyat.

"Tetapi sekarang ini, apa yang berlaku ialah seorang yang mendapat kuasa menjadi speaker boleh menggantung semua orang.

"Ini adalah satu penyalahgunaan kuasa yang begitu ketara sekali dan ianya tidak boleh dihargai dan dihormati oleh sesiapa," katanya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata, tindakan Sivakumar itu jelas bermotifkan politik. Katanya ia merupakan satu taktik terdesak pembangkang.

"Beliau tidak sepatutnya berbuat demikian," kata Azalina.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tindakan Sivakumar itu adalah subjudis kerana isu pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar telah dirujuk ke mahkamah.

"Beliau tidak boleh buat keputusan, jatuhkan hukuman... kerana dia (pembangkang) dah bawa kes itu di mahkamah. Oleh itu, dia perlu menunggu keputusan mahkamah," katanya kepada pemberita.

Pada 13 Februari lepas, bekas Menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

"Apa yang dilakukan di Perak adalah satu perkara yang pelik. Ada persepsi orang seolaholah macam mahkamah...dia panggil (Zambry menghadap jawatankuasa itu) lepas itu jatuhkan hukuman.

"Dia tak boleh buat macam itu, kena ada prosedur, ada perkaraperkara yang perlu dilakukan, kesalahan dilakukan dalam dewan.

"Ini 18 bulan digantung macam digantung tak bertali, mana kuasa dia? Mesti tengok kuasa dia. Sekarang sudah ada kerajaan, kita tidak hendak suasana yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata, dakwaan kononnya pembentukan kerajaan negeri Perak oleh Barisan Nasional tidak mengikut prosedur tidak timbul kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undangundang dan diperkenankan oleh Sultan Azlan Shah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain