suria

Elizabeth tidak hadir mesyuarat Exco petang ini

PETALING JAYA: Exco Selangor, Elizabeth Wong tidak hadir dalam mesyuarat exco yang berlangsung pada petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan itu semalam mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Exco dan ADUN berikutan isu gambar dan video separuh bogelnya yang tersebar di internet.

Perkara tersebut disahkan oleh pembantu peribadi beliau, Choong Pai Chye sebentar tadi.

“Ya, beliau (Wong) tidak akan hadir pada mesyuarat Exco pada petang ini.

"Beliau sangat menghargai kerjasama yang telah diberikan. Berilah beliau ruang untuk menenangkan fikiran. Beliau sedang berehat dan tidak mahu diganggu oleh pihak media ketika ini,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Wong memegang portfolio Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna.

Ditanya tempoh yang diambil beliau untuk bercuti, Chong berkata:

“Beliau (Wong) tidak boleh dikatakan bercuti kerana mengikut kenyataan terakhirnya semalam, dia bersedia meletakkan semua jawatannya.”

Tambah Chong, pejabat ADUN tersebut kembali beroperasi seperti biasa hari ini setelah ditutup semalam dan pihaknya hanya menunggu arahan daripada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya.

Semalam, Wong memutuskan hasrat untuk meletakkan kedua-dua jawatan yang disandangnya ekoran tersebarnya gambar separuh berbogel beliau, namun Khalid berkata, beliau telah menasihatkan Wong agar bercuti dan mengambil rehat yang sewajarnya.

Bagaimanapun Khalid tidak menyatakan berapa lama Wong dinasihatkan supaya bercuti.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Arfa'eza Aziz berkata, pihaknya masih belum mendapat tarikh daripada pihak istana untuk Khalid menghadap Sultan Selangor berhubung tawaran peletakan jawatan oleh Wong.

Semalam, dalam satu kenyataan, Khalid meminta Wong bercuti dan mengambil rehat sewajarnya berikutan insiden yang dihadapinya itu.

Khalid akan menghadap Sultan Selangor dan mendapatkan pandangan baginda berhubung hal itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain