suria

Enam diberkas kes bunuh pekebun kecil di Kunak

KOTA KINABALU: Polis telah memberkas enam lelaki berumur dalam lingkungan 41 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang pekebun kecil ekoran pertikaian mengenai hak milik tanah di Kampung Tingkayu, Kunak, Khamis lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata lima daripada suspek itu adalah orang tempatan manakala seorang lagi memegang pasport Indonesia.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Jabatan Logistik Polis Kontinjen Sabah oleh DSP Sulaiman Abdul Ahmad kepada ACP Abdul Radzak Abdul Ghani, di sini hari ini, beliau berkata polis kini memburu 14 lagi suspek bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, seorang pekebun kecil tempatan, Seipun Kayabo, 46, yang cuba memasuki kebunnya, mati ditembak selepas diserang sekumpulan lelaki dipercayai berhubung pertikaian antara sebuah syarikat dan pekebun kecil yang menuntut hak milik tanah itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain