suria

Muhyiddin: "Pilihlah pemimpin baik bantu Najib"

DIPERKENAL... Calon-calon Majlis Kerja Tertinggi Umno menghadiri Majlis Memperkenalkan Calon-calon berkenaan kepada perwakilan Umno Pulau Pinang hari ini. - fotoBERNAMA
DIPERKENAL... Calon-calon Majlis Kerja Tertinggi Umno menghadiri Majlis Memperkenalkan Calon-calon berkenaan kepada perwakilan Umno Pulau Pinang hari ini. - fotoBERNAMA
DIPERKENAL... Calon-calon Majlis Kerja Tertinggi Umno menghadiri Majlis Memperkenalkan Calon-calon berkenaan kepada perwakilan Umno Pulau Pinang hari ini. - fotoBERNAMA

PULAU PINANG: Pemilihan calon yang berkelayakan pada pemilihan parti yang dijadual pada 24 hingga 28 Mac ini akan menjamin survival parti dan orang Melayu ketika politik negara berada dalam keadaan tidak menentu, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, keputusan perwakilan itu akan menentukan kedudukan Umno bagi tempoh empat tahun akan datang.

"Kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu diperkukuh untuk menghadapi masa yang mencabar ini.

"Empat tahun akan datang adalah tempoh masa kritikal untuk survival parti dan bangsa," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memperkenalkan Calon Majlis Tertinggi Umno kepada perwakilan Umno Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sesi itu diadakan di setiap negeri secara berperingkat.

Selain Pulau Pinang, ia turut dijadual diadakan di Perlis hari ini.

Beliau berkata, pemilihan parti itu bukan hanya pada peringkat dalaman parti kerana terdapat calon yang dipilih akan turut menganggotai barisan pemimpin dalam kerajaan.

"Pilihlah pemimpin yang baik untuk bantu Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menang sebagai Presiden Umno.

"Kita perlu pemimpin yang ada misi yang sama dan sanggup berkorban dalam tempoh yang mencabar ini.

Mengenai sesi perjumpaan calon MT dan perwakilan di peringkat negeri, Muhyiddin berkata, ia bagi memberi peluang calon yang bertanding bergaul mesra dengan perwakilan.

"Perwakilan harus bertanggungjawab dalam membuat keputusan kerana keputusan itu bukan untuk parti sematamata sebaliknya untuk rakyat," kata beliau.

Pulau Pinang merupakan negeri pertama mengadakan sesi memperkenalkan calon MT dan sesi itu akan diteruskan ke negeri lain selepas ini.

Seramai 90 calon layak bertanding pada pemilihan jawatan tertinggi parti yang mana lima jawatan dalam MT akan dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi (MT).

Artikel Lain