suria

Menyamar Tan Sri, pengurus hiburan dipenjara setahun

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus hiburan dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyamar sebagai sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, pada Mac tahun lepas.

Mengikut pertuduhan, Wan Hazrul Anuar Wan Hussien, 26, didakwa menipu seorang Pengurus Jualan dan Pemasaran, Saleha Hamsan, 45, dengan menyamar sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkarnain Awang, 59, dengan curangnya mendorong untuk menyewa tiga buah kereta mewah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Prestige Limo, Naza Venture Holding Sdn Bhd, Lot 213, Jalan Tun Razak di sini, antara 22 Mac dan 31 Mac 2008.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Nor Azah Kasran memerintahkan Wan Hazrul yang berasal dari Kota Baharu, Kelantan, menjalani hukuman mulai dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 April 2008.

Mengikut fakta kes, pengadu menerima satu panggilan telefon kononnya daripada Tan Sri Zulkarnain Awang yang meminta untuk menyewa tiga buah kereta mewah jenis Porsche dan Bentley Flying Spur dengan nilai RM47,000 bagi kegunaan majlis perkahwinan anak perempuannya.

Kereta-kereta itu telah diambil oleh tertuduh dan apabila dia tidak memulangkannya selepas dua hari, pengadu telah menghubungi Tan Sri Zulkarnain untuk mendapatkan penjelasan.

Zulkarnain sebaliknya menafikan beliau telah menyewa kereta-kereta berkenaan daripada syarikat pengadu.

Terdahulu itu, Wan Hazrul yang tidak diwakili peguam, memohon kepada mahkamah agar dikenakan hukuman ringan bagi pertuduhan itu kerana dia masih menjalani hukuman penjara bagi kesalahan lain.

Mahkamah diberitahu, Wan Hazrul telah dihukum penjara dua tahun dan sekali sebatan oleh Mahkamah Majistret pada 21 Nov lalu, bagi pertuduhan menipu membabitkan wang tunai RM19,000 dan sekeping cek bernilai RM15,000 menggunakan nama Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Pendakwaan dilakukan oleh Penolong Pendakwa Raya, Norhanum Hassan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

13 pegawai SPA Perak tiada kerja

Artikel Lain