suria

Polis panggil lima penganjur perhimpunan

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil lima penganjur perhimpunan haram di hadapan pejabat Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam untuk diambil keterangan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman.

Katanya kelima-lima orang tersebut telah dikenalpasti dan akan dipanggil untuk memberi keterangan minggu ini.

Beliau turut menafikan dakwaan Karpal bahawa polis bersubahat dengan membenarkan perhimpunan itu diadakan tanpa permit atas arahan pihak atasan.

"Kita tidak bersubahat dengan mana-mana pihak tidak kira kulit kerana tugas kita adalah untuk menjaga keamanan negara," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini, Karpal telah menyatakan mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, kerana melantik Menteri Besar Perak yang baru dari Barisan Nasional (BN) dan melucutkan jawatan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.

Tindakan peguam veteran itu telah mengundang pelbagai reaksi dengan 89 laporan polis dibuat oleh pelbagai kumpulan terhadap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Semalam, kira-kira 200 orang daripada Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan Selangor berarak menuju ke pejabat Pengerusi DAP itu di Jalan Pudu di sini bagi menyerahkan memorandum kepadanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain