suria

Tidak perlu bubar Parlimen - Shafie

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan semula adalah tidak perlu, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata, cadangan pembubaran oleh parti pembangkang itu tidak seharusnya wujud berikutan rakyat telah memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara ini.

"Tidak perlu bubar Parlimen kerana rakyat telah memilih BN sebagai kerajaan. Kita sudah ada pilihan raya. Apa yang pentingnya, kurangkan berpolitik dan fokuskan kepada kerja masingmasing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bacaan doa untuk Palestin di Istana Budaya di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa semalam yang mencadangkan agar Parlimen dibubarkan bagi membolehkan satu pilihan raya umum diadakan semula daripada memperkenalkan undang-undang antilompat. Husam dalam kenyataannya mendakwa Umno mengadakan undang-undang itu sematamata untuk menghalang manamana wakil rakyat daripada melompat parti.

Terdahulu, Shafie melawat gerai yang menjual pelbagai barangan dalam usaha mengumpul dana bagi mangsa kekejaman Israel di Gaza, Palestin.

Malam amal selama dua hari itu dianjurkan oleh Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berjaya mendapat kutipan mencecah RM60,000.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Shafie, Datin Seri Shuryani Shuaib, Penolong Pengarah Kanan Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Muzahet Masruri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain