suria

Samy Vellu beri CEO MIED notis tunjuk sebab

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif cabang pendidikan MIC, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P. Chitrakala Vasu diberikan notis tunjuk sebab oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Notis itu yang perlu dijawab dalam 14 hari, meminta Chitrakala menjelaskan beberapa percanggahan dalam akaun MIED, yang menguruskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) parti itu di Semeling, Kedah melalui anak syarikat, MIED Capital Sdn Bhd.

"Ya, saya menerima notis itu beberapa hari lepas dan sedang menyediakan surat bagi menerangkan keseluruhan prosedur akaun itu.

"Sebenarnya ini bukan pertama kali beliau (Samy Vellu) memberikan notis ini kepada saya.

"Beliau telah mengeluarkan kira-kira tujuh notis terhadap saya bertarikh 31 Disember 2008 dan pada ketika itu saya hanya diberikan masa sehari untuk menjawab. Saya menjawab semua tujuh notis itu pada 2 Januari.

"Pada kali ini hanya satu notis sahaja. Saya akan jawab notis ini dalam 14 hari," katanya kepada Bernama, ketika dihubungi di sini hari ini.

Buat pertama kalinya membuka mulut selepas isu itu meletus akhir Disember lepas, Chitrakala berkata selepas beliau menjawab tujuh notis tunjuk sebab itu, beliau "dinasihatkan" supaya bercuti oleh Samy Vellu.

Ketika ditanya sama ada notis tunjuk sebab itu berkaitan dengan akaun MIED, beliau berkata, ia bukan hanya mengenai simpan kira-kira MIED tetapi "seluruhnya".

"Saya fikir beliau (Samy Vellu) mahu saya keluar daripada MIED. Saya telah bersama MIED selama 14 tahun dan kini beliau hanya mencari alasan untuk menyingkirkan saya.

"Ia seperti misi mencari kesalahan," katanya.

Katanya, tiada apa yang beliau perlu sembunyikan kerana semua tindakannya selaku CEO MIED adalah berdasarkan arahan daripada lembaga pengarah MIED yang dipengerusikan oleh Samy Vellu.

MIED, cabang pendidikan parti itu, dilanda kontroversi selepas didapati kos AIMST, yang mula beroperasi dua tahun lepas, telah meningkat daripada anggaran awal RM230 juta setahun kepada lebih RM500 juta.

Akhir bulan lepas, Tan Sri M. Mahalingam, penandatangan cek MIED, digugurkan sebagai bendahari agung MIC oleh Samy Vellu, yang berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada langkah penjenamaan semula MIC dan wujud keperluan untuk membawa masuk muka baru ke dalam parti.

Chitrakala telah bercuti sejak itu.

Pemimpin tertinggi parti itu pada bulan lepas telah melantik tiga peguam untuk menganggotai panel bebas untuk menyiasat masalah kewangan MIED dan punca peningkatan kos itu.

Panel itu juga dipertanggungjawabkan untuk menyemak semua kontrak MIED yang telah diberikan bagi pembinaan dan penyelenggaraan AIMST.

Terdapat laporan kononnya berlaku beberapa penyelewengan berhubung pemberian kontrak, terutamanya membabitkan kontrak landskap dan perkhidmatan kawalan keselamatan.

Minggu lepas, isu itu semakin rumit selepas Naib Presiden MIC dan pengarah MIED Datuk S. Sothinathan membuat dua laporan polis berhubung kehilangan fail milik MIED.

Laporan itu dibuat di balai polis Dang Wangi dan ibu pejabat polis daerah Sentul, mendakwa fail berkaitan kontrak AIMST hilang dari ibu pejabat parti di Jalan Rahmat, off Jalan Ipoh, di sini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain