suria

Wakil pembangkang sertai MCA khabar angin - Ong

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat menafikan parti itu sedang memujuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP untuk menyertai MCA dan menyifatkannya sebagai khabar angin dan tanggapan umum semata-mata.

"Orang gembar-gemburkan, ia semata-mata satu tanggapan dan khabar angin," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Damansara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang mengatakan MCA sedang memujuk seorang ADUN DAP untuk menyertai parti itu dan perbincangan mengenainya telah diadakan sejak dua minggu lepas.

Akibat khabar angin itu dan "kehilangan" dua wakil rakyat kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) sejak 26 Jan lepas, kedudukan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin dikatakan goyah.

Ong berkata, perkara itu bersifat spekulasi yang dihebohkan sesetengah pihak dan ia tidak terjadi sepertimana yang dijangka malahan wakil DAP itu tidak menemuinya.

Sementara itu, Ong berkata, lawatannya ke SJKC itu ialah bagi menyerahkan cek bernilai RM200,000 untuk membaik pulih sekolah berkenaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain