suria

L/Kpl polis dituduh terima rasuah

IPOH: Seorang anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM900 daripada seorang pemilik lori September lepas.

Lans Koperal Shamsul Puad Sam, 40, dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Perak Tengah di Parit dekat sini, didakawa memperoleh wang itu daripada Zainal Abidin Yacob, 47, sebagai bayaran bulanan.

Wang itu adalah sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lori milik Zainal Abidin yang dikatakan telah melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shamsul Puad dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan tidak bernombor di Batu 25, Jalan Beruas di Parit dekat sini, pada 5 petang 18 Sept lepas.

Hakim Rasidah Chik membenarkan tertuduh, yang diwakili peguam Ranjit Singh, diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 29 dan 30 April ini sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hamzah Mohd Aris. BERNAMA

Artikel Lain