suria

Kematian Kugan diklasifikasi kes bunuh untuk siasatan

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail semalam telah meminta pihak polis mengklasifikasikan kematian suspek kes kecurian kereta, A. Kugan sebagai kes bunuh bagi tujuan penyiasatan.

Abdul Gani berkata, beliau telah berjumpa dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang membawa gambar mayat Kugan yang diambil oleh polis dan orang luar ketika berada di bilik mayat Hospital Serdang.

"Selepas mengkaji gambar dan kertas siasatan, saya mencadangkan kepada Timbalan Ketua Polis untuk mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

"Jika penyiasatan dan laporan bedah siasat menunjukkan yang dia (Kugan) mati kerana diserang, maka mereka yang bertanggungjawab akan didakwa atas tuduhan membunuh.

"Jika tiada bukti yang menunjukkan sesuatu yang tidak jujur berlaku, maka kes ini harus direhatkan dan tidak perlu dipolitikkan," katanya.

Ismail dalam pada itu memberi jaminan kepada keluarga Kugan dan orang awam yang pihak polis tidak akan menutup apa jua salah laku yang dilakukan pegawai atau anggotanya.

"Saya bersimpati dengan keluarga mangsa dan memberi jaminan kepada mereka yang kita tidak akan melindungi sesiapa.

"Kita akan berpegang kepada undang-undang dan menyiasat perkara ini dengan profesional dan berintegriti.

Sementara itu, di KUCHING, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam berkata, polis akan menyiasat kes kematian Kugan.

Katanya beliau akan mengarahkan pegawainya untuk menyiasat kes tersebut secara terperinci sebelum sebarang tindakan dan keputusan dilakukan.

"Kita akan siasat, kerana saya difahamkan dia (Kugan) meninggal dunia akibat masalah paru-paru berair," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru pertama Ketua Polis Malaysia, Indonesia dan Brunei di sini.

BERITA TERDAHULU

PUTRAJAYA: Kematian suspek curi kereta A. Kugan ketika dalam tahanan polis diklasifikasikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini sebagai kes bunuh.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri T. Murugiah dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, Abdul Gani menghubunginya pagi ini bagi memberitahu tentang perkara itu, untuk dimaklumkan kepada anggota keluarga mangsa serta orang awam.

"Beliau (Abdul Gani) telah mengarahkan pihak polis untuk membuat siasatan rapi dan sekiranya proses siasatan berjalan lancar, kemungkinan besar orang yang terlibat akan didakwa di mahkamah minggu depan," katanya.

Murugiah meminta agar ahli keluarga mangsa supaya memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang akan dijalankan.

"Dalam hal ini, kita kena beri kerjamsa dan kita tak boleh menuduh mana-mana pihak," katanya.

Kugan, 22, ditahan reman sejak minggu lepas kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah, sebelum meninggal dunia ketika dalam tahanan pada 11 pagi Selasa lalu.

Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa dia didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Murugiah berkata, beliau turut menerima aduan daripada anggota keluarga Kuhan, yang antara lain tidak berpuas hati dengan laporan bahawa mereka membuat kecoh di rumah mayat Hospital Serdang, sedangkan mereka cuma merayu untuk melihat mayat Kuhan setelah lapan jam menunggu.

Katanya, mereka juga mendakwa pihak polis gagal memaklumkan kepada ibu bapa atau ahli keluarga terdekat Kugan dalam masa 24 jam setelah dia ditahan.

"Aduan ini akan saya majukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok supaya dapat diangkat dalam mesyuarat kabinet akan datang untuk dibincangkan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain