suria

3 Exco digugur rombakan PKR Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang menggugurkan tiga anggota exco kerajaan negeri daripada barisan jawatankuasa badan itu bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Mereka terdiri Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin dan anggota exco Law Choo Kiang, kedua-duanya Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, dan seorang lagi anggota exco, Abdul Malik Abul Kassim, yang juga setiausahanya.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu di sini malam tadi, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata mesyuarat itu bersetuju melantik Ketua Bahagian PKR Balik Pulau, Dr Mansor Othman dan Timbalan Speaker Tan Hock Leong bagi menggantikan Mohammad Fairus dan Law manakala tempat Abdul Malik pula kini disandang oleh Mustafa Kamal Mohd Yusoff, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR negeri.

Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Uban, Raveentharan a/l Subramaniam kekal sebagai Timbalan Pengerusi yang ketiga.

Anggota Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dilantik sebagai Ketua Penerangan, Anggota Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dilantik sebagai Ketua Angkatan Muda PKR negeri dan Norhayati Jaafar sebagai Ketua Wanita Negeri.

Zahrain berkata, sebuah jawatankuasa diketuai Dr Mansor ditubuhkan untuk memantau prestasi semua exco, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Anggota Parlimen dan Ahli Majlis daripada parti itu.

"Kalau prestasi mereka tidak baik dan tidak berubah, kita akan gugurkan mereka pada penggal akan datang," katanya.

Zahrain juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan negeri yang tidak berbincang dengan PKR terutamanya mengenai pelantikan penjawat sesuatu jawatan, umpamanya, langkah Ketua Menteri Lim Guan Eng melantik bekas pemimpin Gerakan Datuk Lee Kah Choon sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Lembaga investPenang, iaitu badan pelaburan kerajaan negeri.

"Kita hanya dimaklumkan oleh Ketua Menteri mengenai perkara itu tetapi tidak dibawa berbincang. Jadi, kita mahu supaya beliau ambil kira kedudukan wakil dari PKR," katanya.

Pada mesyuarat malam tadi, PKR bersetuju supaya jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan juga Majlis Perbandaran Seberang Perai, ahli majlis serta pegawai daerah disandang oleh orang politik.

Zahrain berkata, PKR merancang mengadakan majlis makan malam secara besar-besaran pada Mac ini untuk mencari dana parti dan juga akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di Dewan St Anne di sini pada 1 Feb ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain