suria

20 warga asing terlibat kegiatan tidak bermoral diberkas

BUKIT MERTAJAM: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 20 wanita rakyat asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral di sebuah pusat karaoke di Jalan Anson, malam tadi.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Abdul Rahman Hassan berkata, empat daripada mereka merupakan rakyat Vietnam berusia antara 21 dan 25 tahun manakala 16 lagi yang berumur antara 20 dan 35 tahun ialah dari China.

Ketika bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di Seberang Jaya di sini, beliau berkata, seorang juruwang rakyat tempatan turut ditahan dalam operasi dikenali sebagai Ops Sayang itu.

Abdul Rahman berkata, semua wanita berkenaan ditahan selama 14 hari di depot Juru untuk siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau menyifatkan tangkapan itu sebagai satu kejayaan besar kerana beberapa serbuan ke premis berkenaan sebelum ini gagal menahan wanita berkenaan.

Dalam Ops Sapu di tiga buah rumah di kawasan Seberang Perai malam tadi, lima lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki Myanmar serta tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan dari Indonesia ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain