suria

Anggota tentera mengaku tidak bersalah buang bayi tujuh bulan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, terhadap pertuduhan membuang bayi perempuannya berusia tujuh bulan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa di sini, Isnin lepas.

Nor Affendy Rahman, 33, didakwa membuang Fasya Irdiena ke dalam tong sampah di tepi LRT Setiawangsa, Jalan Jelatek, di sini, pada pukul 4 pagi, 19 Jan lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh, yang bertugas di Markas Kejuruteraan, Jalan Padang Tembak, di sini, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azaraorni Abd Rahman.

Azaraorni kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes 21 April depan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Sementara itu, isteri tertuduh yang merupakan pembantu kesihatan pergigian di Klinik Pergigian Setapak, di sini, turut hadir di mahkamah untuk mendengar kes suaminya. Bayi malang itu kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pasangan suami isteri itu mempunyai dua anak lain manakala mangsa adalah anak bongsu mereka.

Pada 19 Jan lalu, seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemui di dalam tong sampah oleh seorang pengawal keselamatan di LRT itu yang dipercayai dibuang oleh seorang lelaki selepas bertengkar dengan pasangannya.

Bapa tertuduh membayar jaminan itu. Pendakwaan dilakukan ASP Dr. A. Vasu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain