suria

Menteri MCA perlu serah pelan kerja - Tee Keat

KUALA LUMPUR: Semua menteri dan timbalan menteri MCA perlu mengemukakan pelan kerja bagi portfolio masing-masing kepada Lembaga Presiden dan Jawatankuasa Pusat MCA.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata arahan tersebut adalah sebagai langkah bagi menanam sikap bertanggungjawab dikalangan pemimpin parti itu.

"Arahan ini telahpun diterima oleh Majlis Presiden dan akan dilaksanakan serta-merta," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden di Wisma MCA di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata arahan itu termasuk kepada menteri Kabinet yang lain dan enam lagi timbalan menteri.

Menteri Kabinet MCA lain ialah Datuk Seri Ong Ka Chuan (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Liow Tiong Lai (Kementerian Kesihatan) dan Datuk Dr. Ng Yen Yen (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Manakala enam timbalan menteri tersebut ialah Datuk Kong Cho Ha (Kementerian Kewangan), Datuk Wira Chor Chee Heung (Kementerian Dalam Negeri), Teng Boon Soon (Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan), Datuk Dr. Wee Ka Siong (Kementerian Pelajaran), Dr. Hou Kok Chung (Kementerian Pengajian Tinggi) dan Wee Jeck Seng (Kementerian Belia dan Sukan).

Dalam pada itu Tee Keat juga mengumumkan senarai barisan ahli Majlis Presiden.

Selain daripada beliau sendiri ia turut dianggotai oleh timbalannya, Seri Dr. Chua Soi Lek, Naib Presiden Kong, Liow, Dr Ng, Datuk Tan Kok Hong, Ketua Pemuda MCA, Dr. Wee, Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Agung, Datuk Wong Foon Meng, Bendahari Agung, Tan Sri Tee Hock Seng dan setiausaha penganjur kebangsaan parti, Yoo Wei How.

Ahli lain termasuk Datuk Loke Yuen Yow, Gan Hong Su, Lee Wei Kiat, Dr. Hou, Gan Ping Shou, Wong Nai Chee, Wee, Chor dan Wong Hock Aun.

Ka Chuan dan Teng merupakan ahli yang dijemput.

Ditanya sama ada mereka yang dipilih adalah 'orang presiden', Tee Keat menadikannya.

"Saya perlu memilih orang yang terbaik untuk lakukan kerja, anda boleh lihat mereka yang berada di dalam Majlis Presiden sebenarnya ialah ketua biro," katanya.

Artikel Lain