suria

Isu azan: Teresa saman Utusan, Khir RM30 juta

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini memfailkan saman fitnah RM30 juta terhadap Utusan Melayu (M) Berhad dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamed Khir Toyo berhubung isu azan.

Saman fitnah RM30 juta itu difailkan kira-kira 12.20 tengah hari tadi.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Teresa, Sankara Nair berkata, ia merupakan saman fitnah kedua pada jumlah yang sama selepas yang difailkan 12 Disember lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa, 44, mendakwa pada 26 Jun lalu Dr. Khir yang dinamakan sebagai defendan pertama telah memetik sebuah blog dikenali sebagai "pembelamelayu.blogspot" dan membuat tuduhan salah terhadap plaintif.

Plaintif juga mendakwa Utusan Melayu yang dinamakan sebagai defendan kedua telah menerbitkan kata-kata defendan pertama berhubung perkara tersebut bertajuk "Ada usaha larang azan di masjid Selangor" dalam akhbarnya pada 8 September 2008.

Beliau berkata, tuduhan keduadua defendan adalah tidak berasas, berniat jahat dan membawa maksud bahawa plaintif bersifat perkauman, seorang ahli politik yang antiIslam dan tidak bertoleransi.

Plaintif juga mendakwa tuduhan kedua-dua defendan telah menyebabkan dia ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 12 September 2008.

Tuduhan defendan telah merosakkan reputasi dan kredibiliti plaintif dan menyebabkan dia dibenci, dikecam dan dihina masyarakat, menurut pernyataan itu.

Plaintif memohon ganti rugi sebanyak RM30 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan atau menyebarkan katakata fitnah terhadap plaintif.

Saman itu adalah yang ketiga difailkan Teresa terhadap Utusan Melayu tahun ini, kali pertama pada 9 Oktober lalu berhubung isu laungan azan, diikuti satu lagi saman pada 12 Disember lepas mengenai artikel bertajuk "politik baru YBJ" yang diterbitkan dalam edisi Mingguan Malaysia.

Pada 12 Disember lalu, Teresa yang juga Exco Kerajaan Negeri memfailkan saman fitnah RM30 juta terhadap Datuk Chamil Wariya dan Utusan Melayu kerana menerbitkan cerpen Politik Baru YBJ yang didakwa mempunyai kaitan dengan dirinya.

Chamil, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) merupakan defendan pertama dan Utusan Melayu defendan kedua.

Teresa mendakwa cerpen tersebut yang diterbitkan dalam Mingguan Malaysia pada 12 Oktober lalu secara jelas merujuk kepada dirinya dan bukan sekadar kebetulan.

Beliau juga mendakwa, keseluruhan jalan cerita cerpen yang ditulis oleh Chamil itu seolah-olah menggambarkan dirinya secara jelas dan bukan digambarkan secara tidak sengaja.

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain