suria

Ong kotakan janjinya, masih ada yang belum terjawab

PELABUHAN KLANG: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat semalam menunaikan janjinya untuk memberi laporan mengenai kronologi dan situasi projek kontroversi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)) tetapi beberapa perkara tidak berjawab berikutan audit yang dilakukan oleh firma audit PricewaterhouseCoopers masih belum lengkap.

Ong semalam membentangkan sejarah penubuhan PKFZ yang dikutip dari rekod dan maklumat yang diterima dari kementeriannya dan juga Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang mengendalikan PKFZ, melalui anak syarikatnya PKFZ Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Ong berkata, PricewaterhouseCoopers masih lagi menjalankan proses audit dan perlu mewawancara beberapa orang penting bagi mendapat gambaran jelas mengenai pelaksanaan projek bernilai RM4.6 bilion di Pulau Indah, di sini.

Dalam sidang akhbar untuk menjelaskan mengenai isu itu di sini, Ong berkata, walaupun isu pembelian 400 hektar tanah dari koperasi nelayan tidak berkait dengan PKFZ, beliau mengikuti perkembangan itu dengan teliti kerana perbezaan di antara harga pembelian dan penjualan itu adalah besar dan beliau sendiri turut mempersoalkannya.

Tanah itu dibeli oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd pada harga RM3 sekaki persegi daripada sebuah koperasi nelayan dan kemudiannya dijual kepada LPK dengan harga RM25 sekaki persegi pada tahun 2002.

"Maklumat-maklumat terutamanya mengenai elemen kos seperti yang saya katakan pada awalnya akan dijelaskan oleh Pricewaterhouse(PricewatwerhouseCoopers), katanya.

Ong juga berkata, beliau sedia membantu siasatan jika perkara ini disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah.

Ong juga menafikan beliau mengetahui mengenai dua ahli politik terkemuka yang akan dikenakan tindakan berkaitan dengan projek PKFZ seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina.

Menjawab soalan sama ada seorang menteri boleh menulis surat jaminan kepada pinjaman ke atas sebuah projek besar seperti PKFZ, Ong berkata, seperti yang dijawabnya di Parlimen sebelum ini, surat yang dikeluarkan oleh menteri sebelumnya mengenai projek itu adalah surat sokongan bukannya jaminan.

Ong berkata: "Anda tanya saya untuk memberi komen mengenai predecessor saya. Sudah tentu ini pertimbangan beliau pada masa itu atas apa jua sebab atau keadaan yang datang kepadanya pada ketika itu. Soalan itu hanya orang yang saya gantikan itu dapat menjawabnya pada ketika itu.

"Tapi jika anda tanya saya sudah tentu saya mungkin mempunyai pandangan saya sendiri...Saya mungkin tidak akan lakukannya tapi ia tidak bermakna apa yang saya kata atau apa yang saya pilih itu itu akan menjasi satu yang diyakini," katanya.

Beliau juga berkata, tugasnya ialah untuk melaporkan apa yang berlaku dalam projek itu dari menteri sebelumnya sehingga beliau memegang jawatan Menteri Pengangkutan dan bukannya untuk memberi penilaian atau mengulas apa yang berlaku di PKFZ. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain