suria

PM: Henti projek pembangunan tanah cerun

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua kerajaan negeri menimbang untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi.

"Negeri-negeri lain juga adalah baik jika tidak dibenarkan pembangunan perumahan di kawasan cerun.

"Ia bukan satu kerugian tapi demi keselamatan," kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas melawat kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini, yang menyebabkan 14 banglo tertimbus hari ini.

Beliau berkata, kerugian mungkin lebih besar sekiranya tanah runtuh berlaku berbanding kerugian tidak menjalankan projek di tanah berisiko tinggi.

"Mungkin tuan tanah akan marah, sebab nak guna tanah untuk bina rumah. Mungkin pemaju nak dirikan rumah atau kondominium di sini akan tidak senang hati, kalau sekiranya ditegah meneruskan hasrat mereka di kawasan berisiko itu," katanya.

Abdullah berkata kejadian hari ini dan dua kejadian sebelum ini perlu dijadikan isyarat bahawa sekiranya perhatian serius tidak diberi, ia boleh mengundang kejadian yang lebih buruk.

"Mungkin tidak suka melihat, tapi kalau kita tak ambil peduli tentang perkara kestablian tanah, khususnya di lerenglereng bukit, kita sebenarnya menempah nahas dan tragedi yang merugikan semua pihak," katanya.

Beliau juga mengarahkan supaya pakar-pakar Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) melakukan pemeriksaan dan pemantauan dengan segera di kawasan Bukit Antarabangsa supaya dapat menyelamatkan kawasan perumahan yang berhampiran.

Katanya sebagai kawasan tadahan air, Bukit Antarabangsa tidak sepatutnya dibangunkan untuk penempatan.

"Terdapat banyak kawasan tinggi di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Pastikan semua kawasan ini tanahnya teguh dan tak perlu lagi masalah bersabit tanah runtuh.

"Kalau ada kemungkinan berlaku keruntuhan tanah, tindakan awal perlu diambil," kata Abdullah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain