suria

Penduduk pangsapuri diarah berpindah

KUALA LUMPUR: Polis mengarahkan antara 3,000 hingga 5,000 penduduk di kawasan perumahan bertingkat berhampiran lokasi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa supaya segera berpindah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Kor Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia sedang membuat laluan pejalan kaki bagi tujuan memindahkan penduduk terlibat.

Namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang turut melawat tempat kejadian berkata, terdapat penduduk yang masih enggan berpindah.

"Kita meminta penduduk berhampiran agar berpindah kerana dilaporkan masih terdapat pergerakan tanah berlaku," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan Selangor telah menyediakan penempatan sementara untuk menempatkan mereka.

Kejadian tanah runtuh pukul 4 pagi tadi telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.

Musa juga berkata, sebuah sungai berhampiran kawasan kejadian turut tertimbus pasir, menyebakan airnya melimpah keluar dan pasukan polis dan tentera terpaksa mengalihkan air sungai itu ke aliran baru.

Lima buah lori dilihat dibawa masuk untuk mengangkut keluar pasir yang dikorek dari sungai itu.

Dilaporkan penduduk yang diminta mengosongkan kediaman masing-masing akan ditempatkan di Dewan Serbaguna UA2 dan ribuan penduduk kini sedang keluar dari kawasan itu menyebabkan keadaan menjadi agak kucar kacir, tambahan pula hujan turun agak lebat di kawasan kejadian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain