suria

Polis tahan wanita, rampas dadah RM6.4 juta

PULAU PINANG: Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan memproses dan mengedar dadah terbesar di Pulau Pinang dengan penangkapan seorang wanita dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.4 juta di beberapa buah rumah di sini sejak tiga hari lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob berkata wanita berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 9 malam pada hari Sabtu lepas di rumah teres miliknya di Sungai Nibong di sini oleh sepasukan anggota dan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang dengan kerjasama JSJN Selangor dan Bukit Aman.

"Serbuan itu dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan sejak beberapa minggu lepas, dan dalam operasi itu polis menemui sebuah makmal memproses dadah jenis heroin di rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan wanita yang dipercayai antara dalang utama kegiatan itu, polis menyerbu beberapa buah rumah di kawasan Bukit Jambul, Datuk Keramat dan Jelutong di sini, dan hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah, peralatan memprosesnya, senjata api dan peluru di rumah-rumah itu. "Dadah yang dirampas adalah heroin base seberat 9.1 kg, heroin no 3 (6.4 kg), ganja (0.7kg), ketamin (9.3kg), candu (0.9kg), syabu (0.1kg), kaffein (513kg), pil ermin 5 (59 biji) dan 33 botol precusor, yang semuanya bernilai bernilai kira-kira RM6.4 juta.

"Selain itu, polis turut merampas sepucuk revolver .38 Smith&Wesson, sepucuk pistol Steyr Austria bersama dua kelopak peluru, sepucuk pistol walter bersama satu kelopak peluru, sepucuk pistol jenis Taurus Brasil bersama dua kelopak peluru, tujuh butir peluru .38 dan 9mm serta 50 butir peluru .32," katanya.

Ayub berkata dalam operasi itu polis turut menyita sebuah kereta, akaun bank, barang-barang kemas serta pelbagai mata wang asing, dan nilai anggaran sitaan adalah RM300,000.

Katanya siasatan awal mendapati tiga buah rumah yang diserbu itu dijadikan tempat untuk menyimpan stok dadah berkenaan sebelum diedarkan di sekitar Pulau Pinang serta negeri-negeri lain.

Beliau berkata polis juga tidak menolak kemungkinan wanita yang ditahan mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah di dalam dan luar negara. Ayub berkata polis sedang menyiasat sekiranya senjata api itu pernah digunakan dalam sebarang keskes jenayah sebelum ini.

Katanya wanita yang menganggur itu sudah bercerai dengan suaminya dan tinggal seorang diri di rumah tersebut, dan beliau kini direman sehingga 7 Dis ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1980," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno pecat Zaid Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain