Parlimen Indonesia sambut baik hukuman ke atas majikan Nirmala - Semasa | mStar

Parlimen Indonesia sambut baik hukuman ke atas majikan Nirmala

JAKARTA: Beberapa anggota parlimen Indonesia menyambut baik keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara ke atas Yim Pek Ha, majikan kepada pembantu rumah dari Indonesia, Nirmala Bonat.

Yim, suri rumah, didapati bersalah atas tiga tuduhan mencederakan Nirmala dengan menggunakan seterika dan air panas empat tahun lepas.

Speaker Parlimen Indonesia Agung Laksono berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan mahkamah itu tetapi menghargai sistem undang-undang di Malaysia yang menjatuhkan hukuman yang sesuai dengan kesalahan penderaan itu.

"Selain menunjukkan berjalannya proses penegakan hukum di Malaysia, keputusan ini juga cukup bererti bagi Indonesia kerana ada banyak lagi pekerja Indonesia di sana," katanya kepada Bernama di sini ketika diminta mengulas hukuman penjara 18 tahun itu, semalam.

Beliau percaya penguatkuasa undang-undang di Malaysia baik polis mahupun pihak lain sentiasa bertindak tegas dan tidak mendiskriminasi, yang diharapkannya menjadi peringatan kepada majikanmajikan lain di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan para pekerja Indonesia yang sedang mencari rezeki di Malaysia supaya berhatihati dalam bekerja dan sentiasa mematuhi undang-undang Malaysia.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri di parlimen Indonesia Theo L. Sambuaga juga memberikan penghargaan kepada mahkamah di Malaysia yang menurutnya telah mempastikan perjalanan undang-undang dengan baik dan adil.

"Saya kira kita angkat topi kepada mahkamah Malaysia yang telah membuat keputusan seperti itu dan benar-benar mempertimbangkan fakta yang ada," katanya, yang mahu setiap pekerja Indonesia dipastikan tahu selok belok pekerjaan dan didedahkan juga kepada adat, budaya dan pengetahuan asas undang-undang setempat.

Ketua Badan Kerjasama Antara Parlimen di parlimen Indonesia Abdillah Thoha pula berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah menyelesaikan proses undang-undang dan kehakiman ke atas rakyat Indonesia yang mencari keadilan seperti dalam kes Nirmala.

"Saya melihat keputusan itu memberi gambaran positif bahawa proses undang-undang telah berjalan dengan baik. Mereka yang bersalah dan melanggar undang-undang tetap dihukum," katanya, yang berpendapat hukuman penjara 18 tahun bukanlah ringan.

Sementara itu akhbar-akhbar di Indonesia turut melaporkan berita keputusan mahkamah sesyen Kuala Lumpur itu yang dianggap telah memberikan keadilan kepada Nirmala, yang berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur. Akhbar Kompas memetik Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia Muhammad Jumhur Hidayat sebagai berkata dengan hukuman berat itu, para majikan di Malaysia mudah-mudahan lebih menghormati hak para pekerja mereka.

Harian Republika pula memuatkan reaksi positif Kaunselor Penerangan di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur, Eko Suripto yang berkata bahawa hukuman 18 tahun penjara itu akan membuatkan majikan di Malaysia berfikir banyak kali sebelum menyiksa para pembantu rumah.

Akhbar itu memetik seorang lagi pegawai di KBRI sebagai berkata hukuman 18 tahun penjara itu sangat mengejutkan apatah lagi ia merupakan kes pertama penganiayaan terhadap pembantu rumah dari Indonesia yang dijatuhkan hukuman seberat itu.

"Kami kira dia (Yim) kena lima hingga 10 tahun saja. Namun hakim mempertimbangkan aspek kemanusiaan, keadilan dan kepentingan umum. Jadi ini sudah setimpal," kata pegawai yang bernama Selamet itu.

Akhbar Media Indonesia pula memetik Jurucakap Kementerian Luar Indonesia Teuku Faizasyah sebagai berkata, "Dengan adanya putusan pengadilan tersebut, diharapkan rasa keadilan bagi korban sudah dipenuhi. Selain itu dapat membuat para majikan lain tidak berani lagi untuk bertindak sewenang-wenang".

Mengenai keputusan mahkamah semalam yang membenarkan Yim diikat jamin RM200,000 selepas satu malam merengkok di penjara, agensi berita Antara dari Kuala Lumpur melaporkan bahawa Jurucakap KBRI di Kuala Lumpur Tatang B. Razak berkata hal itu sudah dijangka kerana Yim pasti mengemukakan rayuan.

"Oleh sebab itu, KBRI juga akan terus berjuang agar keadilan yang sudah diterima Nirmala terus digenggam, bahkan peguam Nirmala akan mengemukakan tuntutan ganti rugi atas penyiksaan itu yang dideritai pembantu rumah itu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Muhyiddin: Tukar sistem atasi politik wang

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan