suria

Bapa kepada remaja yang tembak ibunya boleh dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Bapa kepada remaja berusia 15 tahun yang menembak rambang sehingga mencederakan ibunya sendiri di rumah mereka di Bandar Country Homes, Rawang dua hari lepas, boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya wujud faktor kecuaian berhubung kejadian itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin berkata jika didapati ada unsur menjurus kepada kecuaian, bapa remaja terbabit yang juga seorang detektif berpangkat Sarjan, boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Dalam kejadian 7 malam itu, remaja terbabit dikatakan melepaskan tembakan rambang dan terkena rusuk kanan ibunya selepas gagal mengawal perasaan akibat berselisih faham dengan bapanya yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Remaja berkenaan dilaporkan telah menggunakan pistol jenis Glock 9 mm yang disimpan bapanya di rumah mereka.

"Tindakan yang akan diambil terhadap anggota itu bergantung kepada pihak tatatertib bahagian pentadbiran polis. Namun segalanya masih dalam siasatan dan kita akan selidik jika ada unsur kecuaian dalam kejadian tembakan terbabit. "Kes tersebut disiasat merangkumi semua aspek termasuk faktor kecuaian anggota terbabit dalam penyimpanan senjata PDRM," kata Bakri kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata apabila seseorang anggota polis diberikan kebenaran untuk membawa pulang senjata api ke rumah mereka, maka anggota itu seharusnya bertanggungjawab ke atas keselamatan dan mematuhi prosedur penyimpanan senjata berkenaan.

"Beliau seharusnya bersikap berhati-hati dan menyimpan senjata itu di tempat selamat dan yang tidak diketahui umum serta mematuhi prosedur yang ditetapkan berlandas undangundang," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain