suria

Hanya RM499 ke London dengan AirAsia X

LONDON: Syarikat penerbangan bajet jarak jauh Malaysia, AirAsia X hari ini mengumumkan perkhidmatan London Stansted-Kuala Lumpur akan bermula pada 11 Mac, 2009, dengan tambang sehingga semurah 99 (RM499) setiap hala.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Seri Tony Fernandes berkata laluan London-KL AirAsia X adalah realisasi daripada hasrat sejak sekian lama untuk membukakan akses penerbangan mampu milik antara Malaysia dan Eropah bagi komuniti Asean dan Eropah.

Bagi sektor tersebut, AirAsia X akan menggunakan pesawat Airbus A340 untuk penerbangan terus lima kali seminggu.

Fernandes berkata tempahan bermula pada tengah hari waktu London hari ini sehingga 30 November bagi tempoh perjalanan 11 Mac, 2009, hingga 24 Oktober, 2009.

Beliau berkata London akan menjadi destinasi kelima AirAsiaX selepas Gold Coast, Perth dan Melbourne di Australia serta Hangzhou di China.

Fernandes berkata demikian pada sidang media bersempena dengan pelancaran jualan perkhidmatan baharu itu di London County di sini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran OsmanRani dan Pengerusinya Datuk Seri Kalimullah Hassan, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Abd. Aziz Mohammed dan wakilwakil daripada Stansted Airport.

Selain tambang 99 bagi kerusi ekonomi, Fernandes berkata penumpang juga mempunyai pilihan membayar 549 (RM1,999) bagi kerusi XL.

Apabila ditanya mengenai pemilihan masa pelancaran ketika dunia sedang berdepan dengan kemelesetan, beliau berkata negara memerlukan beberapa tindakan positif dan usahawan serta syarikat perlu turut memberi sedikit sumbangan dalam usaha menangani keadaan ini.

"Saya tidak akan duduk berdiam diri dan mengurangkan segalanya dan hanya mengatakan kita tidak akan beroperasi lagi. Kami akan terus berjuang dan mencari jalan untuk keluar daripada kemelesetan ini," katanya sambil menambah ketika ini adalah masa untuk "memberi sumbangan kepada negara."

"Saya boleh kurangkan laluan dan mendapat sedikit wang tetapi ia adalah tentang untuk menjadi lebih kukuh selepas kemelesetan."

Ditanya mengenai rancangan selanjutnya bagi syarikat penerbangan tersebut, Fernandes berkata beliau menyasar perkhidmatan harian ke London dan kemungkinan dua penerbangan sehari. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain