suria

Seorang anggota polis cedera dipukul 30 lelaki

MELAKA: Seorang konstabel cedera parah akibat dipukul oleh kirakira 30 orang awam di sebuah restoran di Ayer Keroh di sini awal pagi semalam.

Beliau turut dipukul dengan topi keledar hingga parah di kepala.

Ketua Polis Melaka, SAC I Datuk Mazlan Mansor berkata Mohd Fairus Shafie, 22, yang bertugas di bahagian jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka.

Kejadian itu berlaku antara pukul tengah malam hingga 2 pagi ketika Mohd Fairus yang ketika itu tidak bertugas berada di restoran berkenaan, katanya kepada pemberita hari ini.

Mazlan berkata seramai 15 orang lelaki berusia antara 18 dan 42 tahun ditahan reman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan. "Tiga daripada 15 orang yang ditahan itu turut mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di Hospital Melaka," katanya.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian.

Mazlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Balai Polis Melaka Tengah melalui talian 06-2842222. BERNAMA

Artikel Lain