suria

Ahmad Bakri undur diri untuk beri laluan kepada MB Perlis ketuai Umno Kangar

KANGAR:Ketua Umno Bahagian Kangar Ahmad Bakri Ali hari ini mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan itu untuk memberi laluan kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Pengumuman itu dibuat sehari sebelum persidangan perwakilan Umno bahagian itu yang akan berlangsung di Kompleks Warisan di sini esok.

Ahmad Bakri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri berkata, beliau membuat keputusan itu demi perpaduan parti dan menghormati Md Isa selaku Menteri Besar Perlis.

Katanya beliau tidak menerima sebarang tekanan untuk membuat keputusan itu malah penyokongnya turut menerimanya dengan baik.

Ahmad Bakri, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kayang, menyandang jawatan itu sejak 2004, menggantikan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mengundur diri.

Ahmad Bakri, anak Menteri Besar Perlis ketiga, allahyarham Datuk Ali Ahmad, sebelum ini berkata beliau akan mempertahankan kedudukannya itu.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan itu, Ahmad Bakri berkata beliau perlu berbincang dengan penyokongnya. Md Isa ketika ditemui di pejabatnya hari ini mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Bakri.

"Saya tahu dia ikhlas. Dia tak letakkan syarat kepada saya," katanya. Ditanya sama ada Ahmad Bakri akan ditawarkan jawatan tertentu dalam Umno bahagian itu, beliau berkata itu akan ditentukan kemudian.

Bagi jawatan timbalan ketua Umno bahagian Kangar, penyandangnya Datuk Hashim Suboh akan dicabar bekas anggota exco kerajaan negeri Perlis Azam Rashid. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain