suria

Wanita ketua geng curi kereta ditembak mati

KAJANG: Seorang penjenayah wanita dipercayai ketua kumpulan mencuri kereta serta teman lelakinya ditembak mati manakala seorang anggota polis berpangkat Cif Inspektor cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah kondominium di Sungai Long di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata, kejadian berlaku pada 3 pagi apabila sepasukan polis menyerbu sebuah unit rumah di tingkat satu yang didiami wanita itu dan teman lelakinya.

"Polis terpaksa memecah pintu rumah tersebut apabila suspek enggan membukanya.

"Kedua-dua mereka bersembunyi dalam sebuah bilik dan bertindak ganas dengan melepaskan tembakan ke arah polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek melepaskan tiga das tembakan melalui tingkap ke bawah kondominium apabila mendapati dikepung manakala enam das tembakan lagi dilepaskan di dalam rumah.

Satu daripada tembakan itu terkena betis kiri dan menembusi betis kanan Cif Inspektor Ng Wai Leong dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

"Polis memecah pintu bilik utama sebelum menembak mati keduadua mereka," katanya. Bakri berkata Ng dibawa ke Hospital Kajang sebelum dimasukkan ke wad kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya, polis menemui dua kad pengenalan dipercayai milik wanita yang bernama Wong Sau Lai atau lebih dikenali dengan nama Ah Moon, 20, dan Goh Kian Chai atau lebih dikenali sebagai Ah Tok, 40.

"Dari kad pengenalan itu, lelaki tersebut berasal dari Klang Lama manakala wanita itu dari Taman Salak Selatan, Sungai Besi," katanya.

Polis turut merampas dua pucuk pistol.

Katanya, polis telah mengintip kegiatan kumpulan itu sejak tiga bulan lepas dan telah menahan seorang lelaki berumur 20an dua minggu lepas.

"Wanita itu pernah ditahan pada 27 Mei lepas dan mempunyai waran tangkap akibat tidak hadir perbicaraan. Suspek telah melanggar seorang anggota polis dan polis menemui senjata api di dalam keretanya," katanya.

Lelaki yang ditembak itu mempunyai kes jenayah lampau membabitkan lapan kes samun.

Kumpulan itu yang dikenali sebagai Geng Ah Tok dikehendaki polis kerana terlibat dalam 24 kes samun kereta mewah di sekitar Kuala Lumpur dan lapan kes di Selangor.

"Kumpulan ini telah bermula sejak setahun yang lalu namun begerak aktif sejak tiga bulan lepas," katanya.

Bakri berkata kumpulan itu menyasarkan rumahrumah elit yang mempunyai kenderaan mewah.

"Wanita tersebut akan mencari mangsa dan merayu agar dibukakan pintu sebelum anggota kumpulan lain mengugut mangsa," katanya.

Polis turut menemui pelbagai kunci kereta selain beberapa plat nombor kenderaan, kapak, parang dan pisau dalam sebuah kereta BMW yang digunakan oleh suspek.

"Kereta BMW itu milik seorang ahli perniagaan yang disamun pada 10 Okt lepas. Polis sedang mengesan kereta lain yang kuncinya ditemui semula," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain