suria

Tiga remaja mengaku tak bersalah samun beg tangan

KUALA LUMPUR: Tiga remaja hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menyamun beg tangan seorang wanita, minggu lepas.

Mohd Azwan Sharolzaman, 18, dan dua lagi rakannya, berusia 15 dan 16, didakwa menyamun dan melarikan beg tangan Ng Seok Bee, menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM1,000.

Mereka melakukan kesalahan itu di belakang Hotel Equatorial di Jalan Sultan Ismail, di sini pada 8 malam, 29 Okt lepas.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mohd Azwan turut menghadapi satu lagi pertuduhan menyimpan barang curi iaitu beg tangan mangsa, di tapak pembinaan di Jalan Kia Peng, di sini pada 8.45 malam, hari yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 411 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan Mohd Azwan boleh dipenjara lima tahun dan dikenakan denda.

Peguambela Shahrul Nizam Azwir, mewakili ketiga-tiga tertuduh, memohon anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan Mohd Azwan diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi keduadua pertuduhan, manakala dua lagi tertuduh sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Mahkamah menetapkan kes itu dibicarakan pada 22 Jun tahun depan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff. BERNAMA

Artikel Lain