suria

Mayat lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah

BUTTERWORTH: Seorang lelaki ditemui mati berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman dikesan pada bahagian muka serta perut, di Jalan Mohd Saad di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Zulkifli Ilias berkata mayat Ang Chee Keong, 26, yang berasal dari Medan Melur Selatan di sini ditemui oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu pada kirakira pukul 2.40 pagi.

"Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap, dengan kesan kecederaan dikesan di bawah dagu serta rusuk kiri dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Ang terbunuh selepas terlibat dalam satu pergaduhan dengan lebih dari dua orang di kawasan berkenaan, dan polis sedang menyiasat motif kejadian.

Zulkifli berkata Ang didapati mempunyai lima rekod jenayah lampau, dan polis turut menemui sebuah motosikal yang dipercayai dicuri beberapa bulan lepas berhampiran mayat Ang.

Katanya polis sudah menahan dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 20 dan 30 tahun bagi membantu siasatan, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain