suria

Mukhriz Pemuda Umno perlu bergerak ala NGO

KLANG: Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pergerakan itu perlu balik kepada perjuangan asalnya iaitu membela nasib rakyat dan bergerak ala NGO untuk meraih kembali sokongan di peringkat akar umbi.

"Pemuda perlu peka kepada masalah rakyat dan membantu mereka mendapatkan pembelaan dan bukannya kelihatan seperti pak turut kepada kerajaan," katanya pada satu jamuan Hari Raya di Kampung Johan Setia anjuran Pemuda Umno Bahagian Kota Raja di sini malam tadi.

Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan Anggota Exco Pemuda Umno, berkata satu daripada perkara yang mesti dilakukan oleh pergerakan itu ialah mengukuhkan ekonomi orang Melayu di peringkat akar umbi seperti membantu mereka mendapatkan tapak perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan supaya mereka boleh berniaga secara kecilkecilan.

"Ramai juga golongan pemuda yang ingin berniaga tetapi mereka berdepan masalah kekurangan modal dan sukar mendapatkan pinjaman bank.

"Oleh itu, Pemuda Umno boleh membantu mereka mendapatkan pinjaman yang disediakan untuk Bumiputera seperti pinjaman Tekun di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya.

Mukhriz berkata, Pemuda Umno juga boleh membantu golongan muda mendapatkan kemudahan perumahan daripada kerajaan negeri terutama bagi mereka yang tinggal di bandar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain