suria

Kastam rampas mercun dan bunga api bernilai setengah juta ringgit

RANTAU PANJANG:Kastam Kelantan berjaya merampas 275 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dipercayai barangan seludup, selepas menahan sebuah lori di Kampung Pasir Dusun, Jeli, semalam.

Pengarah Kastam Negeri Azis Yacub berkata rampasan dibuat selepas anggota pasukan kastam pencegahan Bukit Bunga melakukan intipan selama empat jam terhadap sebuah lori, hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata selepas membuat intipan di sebuah pengkalan haram di Kampung Perawas, Air Lanas, Jeli, selama empat jam, lori itu dilihat bergerak menghala ke arah Jeli melalui jalan Tanah Merah-Jeli.

Katanya pihak kastam kemudiannya memintas lori itu dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan.

"Bagaimanapun lori itu tidak mempedulikan arahan dan terus memecut laju menuju ke pekan Jeli dan terus memasuki jalan JeliKuala Balah," katanya kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini.

Azis berkata setibanya di Kampung Pasir Dusun, Jeli, kastam berjaya menahan lori itu, namun pemandunya sempat memboloskan diri, dengan bersembunyai di dalam kawasan hutan berhampiran.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas lori itu, pihak kastam menemui 275 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan dianggarkan bernilai hampir setengah juta ringgit termasuk lori yang dirampas.

Menurutnya lori bersama muatan rampasan itu kemudiannya dibawa ke pejabat kastam bahagian pencegahan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain