suria

Selepas bebas digantung Isa kembali saingi Naib Presiden

NILAI: Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Mohd Isa, 59, yang juga bekas anggota Parlimen Jempol berkata beliau membuat keputusan itu setelah memikirkannya dengan mendalam dan juga sebagai usaha untuk meneruskan perkhidmatannya yang tidak dapat beliau selesaikan dengan mandat yang diberikan oleh perwakilan pada pemilihan Umno 2004.

"Insyaallah, dengan sedikit sebanyak pengalaman yang saya miliki dalam parti dan saya juga anggap diri saya antara pemimpin senior dalam parti, saya dengan ini menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden.

"Saya berharap mendapat pencalonan dan sokongan daripada perwakilan dalam mesyuarat bahagian yang sudah pun bermula semalam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi Datuk Ismail Taib dan Adun Bagan Pinang Azman Mohammad Noor adalah di antara kira-kira 30 orang penyokong Mohd Isa yang hadir pada majlis itu. Dengan pengumuman itu, selain Mohd Isa, mereka yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Shafie Apdal.

Mohd Isa yang bebas daripada penggantungan keanggotaan Umno selama tiga tahun kerana kesalahan politik wang pada Jun lepas berkata beliau mahu memberi sumbangan ke arah memantap dan mengukuhkan parti supaya dapat pulihkan semula kekuatan Umno dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengapa tidak bertanding jawatan yang lebih tinggi, beliau berkata "Walaupun saya pernah menjadi Naib Presiden....mendapat undi tertinggi tetapi setelah memikirkan semasak-masaknya saya kira lebih baik saya bertanding sebagai Naib Presidan kerana sekurangkurangnya saya boleh meneruskan khidmat saya yang tergendala.

"Oleh sebab itu, jika peluang ini diberikan semula kepada saya, insyaalllah, saya akan terus berkhidmat untuk parti. Dari segi rekod perkhidmatan, saya pun memang berkhidmat untuk parti sepanjang masa.

"Sepanjang saya digantung selama tiga tahun, saya tidak pernah menimbulkan masalah dalam parti. Malah saya bantu parti dalam pilihan raya kecil, pilihan raya umum dan sebagainya.....saya sentiasa membantu parti kerana saya tidak pernah berhasrat untuk menyusahkan parti," katanya.

Beliau berkata perwakilan Umno bijak dan dapat memikirkan siapa yang layak dipilih. Pada pemilihan Umno 2004, Mohd Isa memenangi jawatan Naib Presiden Umno dengan memperoleh undi tertinggi sebanyak 1,507.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, menjadi pemimpin paling kanan dikenakan hukuman oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terbabit dalam politik wang pada perhimpunan agung parti pada 23 Sept 2004.

Beliau digantung keanggotaan selama dua penggal atau enam tahun pada 24 Jun 2005 kerana terbabit dalam enam kes membeli undi dan rasuah politik yang menyebabkannya kehilangan hak sebagai anggota sepanjang tempoh berkenaan serta jawatan Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam keputusan rayuan kemudiannya mengekalkan hukuman penggantungan keanggotaan Mohd Isa tetapi mengurangkan tempohnya kepada tiga tahun.

Mohd Isa turut meletak jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 15 Okt 2005, tetapi kekal sebagai anggota Parlimen Jempol. Beliau tidak bertanding mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum Mac lepas.

Baru-baru ini, beliau menerajui semula Umno Bahagian Teluk Kemang setelah tidak dicabar untuk jawatan Ketua Umno bahagian itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain