suria

PSM tingkat usaha tambah anggota

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang baru mendapat pengiktirafan sebagai parti politik dua bulan lalu, sedang meningkatkan usaha untuk menambah jumlah anggotanya dan memastikan semua penyokongnya di seluruh negara mendaftar sebagai anggota parti.

PSM sebelum ini mendakwa bahawa bilangan anggotanya adalah seramai 10,000 orang tetapi kebanyakan mereka tidak berdaftar.

"Kami sedang menggerakkan usaha mendaftar anggota PSM dan akan bertemu kawan-kawan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara untuk mendapatkan nasihat atau kritikan mereka mengenai Parti Sosialis," kata presiden PSM Dr Nasir Hashim, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara kepada pemberita di jamuan Hari Raya anjuran parti tersebut di sini hari ini.

"Kami percaya selepas pilihanraya Mac lalu, sokongan rakyat terhadap kami semakin kuat," katanya lagi.

Beliau juga berkata PSM menyokong Pakatan Rakyat tetapi buat masa ini tidak berhasrat untuk menyertai gabungan parti-parti pembangkang itu.

Walaupun PSM berjaya menghantar seorang wakil ke Parlimen (Dr D.Jayakumar -- kerusi Parlimen Sungai Siput) dan memiliki satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, Nasir berkata perjalanan parti itu masih jauh.

PSM didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah parti politik pada 19 Ogos lalu setelah memohon sejak 1998. BERNAMA

Artikel Lain