Ketupat palas mak cik Nab 'terbang' ke Arab Saudi - Rencana | mStar

Ketupat palas mak cik Nab 'terbang' ke Arab Saudi

KUALA TERENGGANU: Ketupat palas menjadi satu daripada beraneka juadah tradisional yang mudah didapati pada kebiasaanya di bulan Ramadan dan Syawal, khususnya di  Terengganu.

Sama ada dimakan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu, ramai yang menggemari juadah ini kerana rasa enak pulut yang dikukus dengan santan dan dibalut dengan daun palas yang kini semakin sukar didapati.

Bagi Zainab Awang, 61, pembuat ketupat palas berasal dari Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus, meskipun kini sukar mendapatkan daun palas bagi menghasilkan juadah itu, beliau tetap tidak putus asa memandangkan ia punca pencariannya sekeluarga sejak 18 tahun lalu.

Katanya beliau mengupah orang kampung di Gemuruh mencari daun palas dengan bayaran RM30 bagi setiap 10 pelepah daun palas yang digunakan untuk menghasilkan ketupat kegemaran ramai itu.

“Mak cik  pada mulanya memang tak pandai buat ketupat ni ...suatu  hari mak cik  cuba belajar dengan orang kampung, tapi dia tengok mak cik  macam tak pandai buat. Tapi makcik nekad belajar daripada orang lain dan selepas berjaya belajar, bermulalah jualan ketupat palas mak cik,” katanya kepada Bernama.

“Mula-mula tak ramai orang suka, tetapi lama-kelamaan ketupat palas mak cik  semakin mendapat  sambutan dan hinggakan ada yang menempahnya untuk dibawa  pulang termasuk dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur. Malah ada yang menempahnya untuk dibawa ke Arab Saudi,” katanya.


Pembuat ketupat palas, Zainab Awang, 61, (kanan) dibantu dua anaknya Mohd Azwan Ismail, 30, (tengah) dan Nor Aida, 41, (kiri) menyediakan ketupat palas yang ditempah oleh pelanggan ketika ditemui di Kampung Bukit Tunggal, baru-baru ini.


Kini Zainab yang dibantu oleh anak-anaknya meneruskan jualan ketupat palas pada bulan Ramadan ini di sekitar kawasan kampung itu dengan purata pendapatan lebih RM180 sehari.

Untuk bulan puasa ini katanya, seawal pagi selepas waktu sahur beliau dan anaknya, Noraida Ismail, 41, akan mula mengukus pulut sebanyak 15 kilogram yang boleh menghasilkan sehingga 375 biji ketupat.

“Petua mak cik, santan itu sebelum di'arong' (adun)  dengan pulut, dimasak dahulu  supaya ketupat boleh tahan lebih lama dan tidak cepat basi,” katanya.

Menyedari persaingan daripada pembuat ketupat palas yang lain di sekitar Kuala Terengganu dan kampungnya, Zainab kekal menjual ketupat dengan harga 50 sen sebiji meskipun berdepan kenaikan harga barangan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan.

“Mak cik tak ambil untung lebih pun..boleh makan anak-beranak pun dah syukur sangat...sebab ini sahaja yang mampu mak cik lakukan untuk bantu keluarga,” katanya.-- Bernama

ketupat palas , Arab Saudi

Artikel Sebelum

Bagaimana berpuasa 19 jam?

Artikel Berikut

Lebih Artikel

Isteri Adun Panti meninggal dunia

Manchester United pecat Mourinho!