suria

HKL Berjaya Rawat Kecederaan Lutut, Meniskus Sintetik Sebagai Ganti

Datuk Dr Fazir (kanan) memeriksa lutut Adisura bersama Dr Siti Hawa di HKL.

KUALA LUMPUR: Malaysia melakar kejayaan baharu dalam sains sukan apabila Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya melakukan pembedahan memulihkan kerosakan lutut dengan memasukkan meniskus sintetik sebagai pemulihnya.

Kejayaan itu adalah yang kedua di Asia selepas pembedahan sama dilakukan di sebuah hospital di Hong Kong.

Pakar Ortopedik HKL, Dr Siti Hawa Tahir berkata, meniskus sintetik akan bertindak sebagai perancah sementara sebelum menghilang dengan sendiri dalam tempoh empat tahun selepas meniskus baharu terbentuk.

Model lutut dan kedudukan meniskus ditengahnya.

Meniskus merupakan cakera getah yang berada di antara lutut bagi memudahkan pergerakan. Bagaimanapun akibat mengangkat barangan berat dan pergerakan melampau mampu membuatkan meniskus terkoyak dan rosak.

Dr Siti Hawa berkata, kebanyakan kecederaan pada ligamen lutut tidak dapat dipulihkan kecuali meniskus menerima saluran darah secukupnya seperti pembaikan tisu otot.

Ketua Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HKL, Datuk Dr Fazir Mohamad memberitahu, apabila meniskus terkoyak, bahagian itu terpaksa dibuang dan ia akan membawa kepada osteoartritis bagi orang muda.

Oleh itu, pendekatan baharu tersebut kini menjadi pilihan kepada pesakit untuk kembali pulih secara berperingkat.

Kaedah menggunakan meniskus sintetik tersebut turut digunakan oleh seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Adisura Syafriee Abdullah, 36.

Datuk Dr Fazir mengangkat kaki Adisura sambil diperhatikan oleh Dr Siti Hawa di HKL.

Adisura mula mengalami kecederaan lutut ketika bermain bola sepak pada 2010 tetapi dia tetap bersukan dan berjalan seperti biasa tanpa mendapatkan rawatan. Akhirnya pada tahun lalu, dia menyedari lututnya telah mengeluar bunyi sebelum membengkak.

Dr Siti Hawa yang merawat Adisura berkata, pesakitnya itu terpaksa menerima rawatan khusus memandangkan kecederaan yang dialami terlalu lama.

"Kecederaan itu membuatkan lutut Adisura seperti lutut seorang lelaki berusia 60 tahun," katanya.

Berikutan itu, sekumpulan empat pakar dan lapan kakitangan perubatan lain mengambil masa selama enam jam pada 26 September lalu untuk melakukan pembedahan memasukkan meniskus sintetik dan memulih semula tulang rawan yang rosak pada kaki Adisura.

Menurutnya, Adisura kini perlu menjalani pemulihan yang lebih tersusun.

Adisura perlu kembali berjalan selepas enam minggu pembedahan dilakukan serta terlibat semula dalam sukan seperti biasa selepas setahun.

Datuk Dr Fazir (kanan) melihat Adisura mengangkat kaki sambil diperhatikan oleh Dr Siti Hawa di HKL.


HKL, FRU, Meniskus Sintetik

Artikel Sebelum

Artikel Lain