suria

Melancong Cara Belia

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan semakin jauh perjalanan, semakin luas pengalaman yang dikumpul dan semakin terbuka pandangan seseorang tentang kehidupan.

Semuanya boleh diperoleh melalui pengembaraan ataupun melancong di tempat dan negara yang memberi peluang untuk menikmati pelbagai pengalaman yang berbeza.

Oleh itu, golongan muda paling digalakkan untuk merebut sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman cara sedemikian yang turut membantu membentuk personaliti diri terutama sifat yakin, berani, bijak serta melahirkan individu dengan minda yang lebih terbuka.

MELANCONG DENGAN PENDEKATAN BERBEZA

Mengajak belia melakukan aktiviti melancong dengan pendekatan yang lebih positif, bermanfaat dan sarat dengan ilmu serta pengalaman antara pendekatan yang dilakukan oleh Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA).

Ia bagi mengubah perkara biasa menjadi impak yang luar biasa.

Tidak mahu sekadar pulang dengan hanya membawa barang-barang yang dibeli serta gambar yang dikongsi dalam media sosial bersama rakan-rakan, sebaliknya belia harus merasai pengalaman kehidupan sebenar masyarakat di luar.

Caranya ialah dengan tinggal bersama keluarga angkat sepanjang percutian itu. Nampak agak kurang menguja, kerana tiada "privacy" sepertimana kebiasaannya menginap di hotel. Namun harus dicuba untuk mendapat pengalaman yang luar biasa.

Pengalaman itu pastinya sesuatu yang amat berharga, kerana mana mungkin kita boleh semudah itu masuk ke rumah orang yang tidak dikenali, tidur serta makan minum bersama mereka.

Namun itulah keunikan program Youth Exchange And Study Programme (YES) yang dijalankan sejak tiga tahun lepas dengan lebih 1,000 belia menyertainya bagi mengutip pengalaman berbeza di negara orang.

Ramai peserta, yang menyertainya, menyatakan ia adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan dan tidak boleh diperoleh daripada mana-mana pekej pelancongan lain," kata Presiden MYHA, Khairul Annuar Mansor.

Hanya perlu membayar kos yang minimum untuk perbelanjaan semasa program, mereka akan mendapat lebih daripada percutian biasa.

Selain berpeluang ke tempat-tempat menarik di negara itu, mereka juga akan mengikuti beberapa aktiviti bermanfaat antaranya perkongsian dengan para belia di negara berkenaan, katanya.

Apa yang lebih menarik, mereka akan melalui kehidupan bersama keluarga baru tidak kira susah atau sebaliknya.

"Mereka melihat dan merasakan sendiri pengalaman itu dan belajar mengenal kehidupan dengan cara yang sedikit berbeza. Ini juga akan meningkatkan nilai serta toleransi mereka terhadap orang lain," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

BUKA JARINGAN BARU

Bermula di Kota Pariaman, Sumetera pada 2011, MYHA kini memperluaskan lagi kerjasama program YES ke negara Vietnam yang menjadi lubuk emas bagi rakyat Malaysia yang ingin berniaga terutama pakaian dan tekstil.

Khairul Annuar berkata mereka yang menyertai program itu bukan sahaja pulang dengan pengalaman malah mempunyai rangkaian jaringan terutama bagi mereka yang berminat untuk merebut peluang perniagaan.

Sepanjang berada di kedua-dua negara itu mereka akan ditemani oleh rakan mahupun keluarga angkat yang akan membawa ke tempat-tempat menarik lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan serta aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

"Kalau melancong cara biasa kita tidak kenal rapat dengan masyarakat di negara yang dilawati, tetapi melalui pelancongan YES mereka bukan sahaja dapat pengalaman, rakan-rakan baru malah boleh membina rangkaian yang boleh dikembangkan," katanya dan menambah bahawa ramai peserta program YES kini membina jaringan perniagaan di Kota Pariaman.

Kota Pariaman dipilih kerana kepelbagaian produk pelancongan terutama pantainya yang masih belum dikomersialkan. Ia memberi peluang MYHA untuk mempromosikannya dengan menjadikan Kota Pariaman sebagai kawasan Pelancongan Belia Asean.

Vietnam pula dipilih kerana peluang perniagaan yang terbuka kepada belia Malaysia dengan pilihan produk yang murah.

"Jika sampai ke Vietnam sudah seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, penuh dengan orang Malaysia. Kita lihat ada potensinya untuk membangunkan jaringan terutama bagi membolehkan belia Malaysia yang ingin menceburi perniagaan secara lebih serius," katanya.

MYHA juga di peringkat akhir perbincangan untuk melebarkan sayap kerjasama dengan persatuan belia di Tokyo, Jepun untuk membawa belia Malaysia ke sana.

Ia dijangka direalisasikan pada akhir tahun ini dan seterusnya MYHA merancang untuk membuka laluan pelancongan belia ke negara-negara Eropah pula. 

PENGALAMAN BERSAMA KELUARGA ANGKAT

Berkongsi pengalaman mengikuti program YES di Ho Chi Minh Vietnam, Sofea Masruhan, 23, mengakui ia mengubah persepsi negatifnya sebelum menjejakkan kaki ke bumi Saigon.

Kebimbangannya untuk hidup dengan keluarga yang tidak dikenali, berlainan bahasa dan agama terhapus oleh sikap ramah dan keterbukaan keluarga angkat yang menerima kedatangannya dalam keluarga mereka.

Ujar pelajar tahun tiga Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, ia membuka mindanya untuk lebih terbuka menerima dan menghormati budaya lain.

Ia menjadi satu percutian yang cukup berbeza dengan pengalaman yang cukup berharga," katanya yang menyifatkan masyarakat Vietnam cukup ramah dan mudah mesra.

"Twei (perempuan) anak sulung keluarga angkat sentiasa bersama sepanjang empat hari tiga malam di sana. Makan, tidur dan segala aktiviti kami lakukan bersama-sama sampai hubungan kami jadi sangat rapat," katanya mereka menggunakan motosikal yang menjadi pengangkutan utama untuk bergerak ke mana-mana.

Katanya, keluarga angkatnya turut belajar memahami dan menghormati budaya serta agama Islam dengan tidak menyediakan makanan yang berasaskan daging.

"Saya terpaksa jelaskan kenapa tidak boleh makan dan apabila waktu solat saya juga diberikan ruang untuk melakukannya. Mereka menerimanya dengan hati terbuka," katanya yang berhasrat untuk menziarahi keluarga angkatnya satu hari nanti. 

MENDALAMI KEHIDUPAN MASYARAKAT VIETNAM

Ingin mencabar diri dengan percutian yang berbeza membuatkan, Lee Jiing Der, 23, memilih untuk mengikuti program YES di Ho Chi Minh baru-baru ini.

Walaupun tidak berhadapan banyak masalah sepanjang berada di Ho Chi Minh, Pelajar tahun akhir jurusan Samudera dari Universiti Malaysia Terengganu itu mengutip pengalaman yang berbeza berbanding percutiannya sebelum ini.

Matlamat awalnya ketika mengikuti program itu hanya untuk mengenali lebih dekat kehidupan masyarakat Vietnam yang sebenar namun apa yang diperoleh lebih daripada itu.

"Saya cukup seronok sepanjang di sana. Bukan sahaja dapat melawat tempat-tempat menarik malah saya rasakan menjadi sebahagian daripada masyarakat Vietnam," katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Ditemani rakan Vietnam bernama "Rem yi" (lelaki), beliau dibawa menaiki motosikal menyelami kehidupan masyarakat Vietnam.

Apa yang menarik, katanya, masyarakat Vietnam lebih mudah bersatu dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kerana itu walaupun jutaan motosikal di atas jalan raya, kemalangan membabitkan mereka sangat rendah kerana sikap menghormati pengguna motosikal lain, katanya.

"Jika diberi peluang, saya mahu terus melancong dengan cara ini kerana terlalu banyak pengalaman berharga yang dikutip. Tidak semua orang dapat melalui pengalaman itu dan golongan belia harus merebut peluang yang disediakan ini," katanya.

Artikel Lain