SEORANG wanita hamil dicampak keluar dari kereta api selepas dia melawan cubaan seorang lelaki untuk merogolnya.
Mangsa, Revathi, 36, berdepan detik malang itu ketika dalam perjalanan dari Tiruppur ke Chittoor, Andhra Pradesh, India.
Sebelum kejadian mangsa menaiki kereta api sendirian pada pukul 6.40 pagi dan duduk di koc khas bersama tujuh wanita lain.
Apabila kereta api tiba di Stesen Jolarpettai sekitar pukul 10.15 pagi, kesemua penumpang wanita turun, meninggalkannya bersendirian.
Sebaik sahaja kereta api mula bergerak, suspek, Hemaraj, 27, memasuki koc tersebut dan terus mendekatinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima lelaki ditahan selepas culik, rogol wanita sakit mental
Pelaku cuba merogol, namun mangsa melawan dengan menendang tubuhnya.
Tindakan mangsa yang mempertahankan diri menyebabkan pelaku mencampaknya keluar dari kereta api yang sedang bergerak, kata pegawai.
Wanita itu mengalami kecederaan di tangan, kaki dan kepala.
Pegawai segera membawanya ke Hospital Kerajaan Vellore untuk menerima rawatan.
Pelaku kemudiannya ditahan selepas mangsa membuat laporan polis.
Menurut pihak berkuasa, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes bunuh dan rompakan. - Agensi