SATU pasangan YouTuber membangkitkan kemarahan ramai selepas merakamkan anak perempuan mereka berusia dua tahun 'terkunci' di dalam sebuah kereta ketika cuaca panas. Kontroversi bermula pada 24 Mei lalu apabila pasangan tersebut yang mempunyai 58,000 pengikut di YouTube, memuat naik satu video bertajuk 'My Daughter Trapped in a Car Under the Burning Sun' (Anak perempuan saya terperangkap di dalam kereta ketika panas terik). Si bapa membuat rakaman tersebut, manakala ibu kepada kanak-kanak malang itu tidak berada di lokasi kejadian. Ketika itu, lelaki berkenaan sedang menjemput anak lelakinya dari tadika, ditemani dua anak perempuannya. Tidak dimaklumkan mengenai lokasi kejadian, namun pasangan YouTuber itu merupakan warga Jepun. Dalam kejadian itu, dia meletakkan salah seorang anak perempuannya yang berusia dua tahun, di tempat duduk belakang dan mengunci pintu kereta. Bagaimanapun, ketika dia cuba meletakkan seorang lagi anak perempuan di sebelah satu lagi tempat duduk belakang, anak perempuan berusia dua tahun itu secara tidak sengaja menguncikan dirinya di dalam kereta. Dalam keadaan kecemasan, dia sepatutnya segera mendapatkan bantuan, namun sebaliknya merakamkan reaksi anaknya menangis teresak-esak. Rakaman tersebut menunjukkan anaknya kelihatan berpeluh dan menangis ketika bapanya cuba mengarahkannya untuk membuka pintu kereta, yang mana tugasan itu sukar untuk dilakukan oleh kanak-kanak berusia dua tahun. Selepas membuat rakaman, dia kemudian tenang menghubungi tukang kunci bagi membuka pintu keretanya. Kanak-kanak malang itu dilaporkan terkunci di dalam kereta ketika cuaca panas selama lebih 30 minit. Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada insiden tersebut memberi kesan kepada kesihatan anaknya atau tidak. -SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube