suria

Malu lahirkan anak tak sah taraf, gadis nekad buang bayi dalam sungai

Anak merupakan amanah yang perlu dijaga sebaik-baiknya oleh ibu bapa. -Gambar sekadar hiasan

SEORANG remaja perempuan berusia 18 tahun dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia ditahan polis atas dakwaan membunuh bayi yang baru dilahirkan dengan membuangnya ke dalam sungai.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jepara, AKP Ahmad Masdar Tohari, gadis yang hanya dikenali sebagai SN bertindak sedemikian susulan didorong oleh perasaan malu kerana melahirkan anak tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Menurutnya lagi, difahamkan teman lelaki kepada gadis berkenaan mahu bertanggungjawab di atas kehamilannya sebelum ini, namun hubungan mereka tidak direstui ibu bapa.

Dek kerana malu dan bimbang diketahui penduduk kampung, ujarnya, gadis berkenaan membunuh bayi perempuan yang dilahirkannya itu.

"Pelaku menekup mulut bayinya dengan tapak tangan sehingga meninggal dunia. Kemudian, pelaku memotong tali pusat menggunakan pisau dapur dan membuang bayi itu ke dalam sungai di belakang rumahnya," kata Ahmad Masdar.

Bayi malang itu kemudian ditemui tersangkut di dalam sungai oleh penduduk kampung.

Tambahnya, pihak polis ketika ini menunggu keadaan kesihatan pelaku yang sedang mendapatkan rawatan di hospital, sebelum mendakwanya atas tuduhan bunuh. -Serambinews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain