suria

Konvoi kemanusiaan diserang di Gaza, 5 trak bawa bekalan ubat hospital jadi sasaran

Serangan kejam Israel menyebabkan ramai penduduk Palestin kehilangan ahli keluarga- Gambar hiasan REUTERS/Mohammed Salem

PENDERITAAN rakyat Palestin yang terus diserang dari segenap penjuru oleh rejim zionis Israel nampaknya bagai tiada kesudahan.

Terbaharu, konvoi kemanusiaan yang membawa bekalan perubatan di Bandar Gaza turut diserang, pada Selasa.

Serangan kejam itu didedahkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menerusi laman X pada pagi Rabu.

"Konvoi lima trak membawa bekalan perubatan untuk disalur ke fasiliti kesihatan termasuk ke Hospital Al-Quds diserang dengan tembakan.

"Dua trak rosak dan seorang pemandu cedera ringan," ujar persatuan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Genap sebulan serangan tentera Israel, angka korban rakyat Palestin melebihi 10,000 orang

Dalam kenyataan berasingan, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menyatakan kekesalan mereka atas serangan berkenaan.

"Kami kesal konvoi kemanusiaan kami di Gaza diserang. Ia membawa bekalan perubatan ke fasiliti kesihatan termasuk Hospital Al-Quds.

"Di bawah Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, pekerja kemanusiaan perlu dilindungi," ciap ICRC.

Bagaimanapun ICRC tidak menyatakan pihak mana yang melepaskan tembakan ke arah konvoinya atau dari mana tembakan itu datang. - The Guardian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain