suria

Ibu bapa berang sekolah hantar anak masuk kelas tahanan sebab pakai pelitup muka

Sekolah dakwa pemakaian pelitup muka "halang sesi pembelajaran"

SEBUAH sekolah diselar ibu bapa yang berang apabila anak-anak mereka diarahkan untuk menghadiri kelas tahanan kerana memakai pelitup muka dalam kelas.

Beberapa murid di The Abbey School di Faversham, Kent, memilih untuk memakai pelitup muka memandangkan kes mula meningkat di samping kebimbangan terhadap varian Omicron.

Namun guru berkata pemakaian pelitup muka 'menghalang sesi pembelajaran' dan pelajar perlu menanggalkannya semasa sesi pembelajaran.

Ironinya, anak-anak muda dikehendaki memakai pelitup muka ketika diarahkan untuk menjalani sesi 'refleksi', iaitu sesi untuk pelajar memikirkan mengenai kesalahan yang telah dilakukan mereka.

Elouise Gould, 33, berkata, Paige yang berusia 13 tahun telah dimasukkan ke dalam bilik 'refleksi' tiga kali minggu ini kerana memakai pelitup muka di dalam kelas.

Dia menegaskan bahawa anak perempuannya telah dijangkiti Covid-19 sebanyak tiga kali.

"Untuk melindungi diri kita dan orang lain, dia telah memakai pelitup muka di dalam kelas tetapi dia telah dibawa untuk menghadiri sesi refleksi, dan telah dimasukkan ke dalam kelas tahanan,' kata Gould kepada KentOnline.

Karly May, 32, berkata anak lelakinya Albie May juga telah diasingkan dan diarahkan menghadiri kelas tahanan selepas waktu sekolah.

Remaja berusia 15 tahun itu memilih untuk berbuat demikian untuk melindungi datuk dan neneknya yang sakit tenat dan adik perempuannya yang berusia sembilan tahun, yang menghidap penyakit paru-paru kronik dan sistem imun yang lemah.

May berkata: 'Saya berada dalam keterbatasan pada saat ini kerana saya ingin memastikan anak-anak saya di sekolah tetapi mereka tidak dibenarkan memakai pelitup muka.

"Mereka tidak membenarkannya buat masa ini kerana ia bukan panduan kerajaan," katanya.

Jurucakap Sekolah Abbey berkata: "Ini hanya menjejaskan dua pelajar daripada 1,200.

"Komuniti sekolah yang lain selamat dan gembira.

"Sekiranya mana-mana pelajar mengatakan mereka mempunyai sebarang masalah kesihatan di mana mereka perlu memakai pelitup muka, pihak sekolah sudah tentu akan bersimpati dengannya.

"Tetapi kami hanya mengikut panduan daripada kerajaan dan Jabatan Pendidikan.

"Kami telah pun menyedari peningkatan tahap kes dan memperkenalkan pemakaian pelitup muka apabila berjalan di sekitar kawasan persekolahan tiga minggu lebih awal," katanya. - Daily Mail UK

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain