suria

Hospital silap serah mayat, keluarga terkejut terima sekujur tubuh wanita warga emas

Keluarga lelaki berusia 21 tahun yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya menerima mayat wanita berusia 80 tahun.

SEBUAH hospital di China memohon maaf di atas kesilapan kes serah mayat kepada dua keluarga.

Kesilapan itu diketahui salah sebuah keluarga yang diberikan mayat wanita warga emas berusia 80 tahun berbanding mayat saudara mereka yang berusia 21 tahun.

Keluarga wanita warga emas itu menuntut mayat tersebut dua minggu awal tetapi tidak menyedari berlaku kesilapan dalam penyerahan mayat berkenaan.

Bapa saudara kepada lelaki berusia 21 tahun itu, Cheng Yahong memberitahu media tempatan bahawa mereka turut dikenakan bayaran sebanyak 1,100 pound sterling untuk menyimpan mayat tersebut sehingga upacara pengebumian diadakan.

"Dia meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 15 Mac lalu dan mayatnya disimpan di bilik mayat sebuah hospital selama lebih 20 hari.

"Pada 8 April kami pergi ke bilik mayat untuk menuntut mayat tetapi diberikan mayat yang salah. Oleh itu kami menghubungi polis.

"Akhirnya kami mendapati mayat anak saudara saya diberikan kepada keluarga lain di bandar Matou pada 25 Mac. Mayat dikebumikan pada 17 Mac lalu. Ia sudah 13 hari," katanya.

Cheng berkata pegawai polis dan pekerja dari bilik mayat hospital tersebut menemani mereka ke Matou dan mengeluarkan semula mayat tersebut yang telah dikebumikan.

Keluarga tersebut mendapat semula mayat yang betul dan pengebumian dilakukan pada hari yang sama.

Kedua-dua keluarga telah diberi pampasan atas kesilapan itu. - Metro.co.uk

mayat, kesilapan, bilik mayat, hospital, China

Artikel Lain