suria

Lapan pemuda balik dari Jakarta kuarantin dalam hutan, berkhemah tepi sungai

Kumpulan pemuda itu bersama ibu bapa dan juga pihak berwajib di khemah tepi sungai yang menjadi lokasi kuarantin mereka.

LAPAN pemuda dari daerah Aceh Besar tidur di dalam hutan menggunakan khemah untuk tujuan isolasi diri setelah pulang dari Jakarta.

Mereka tidur di hutan Desa Jali, di perkampungan Kota Jhantoe selama 14 hari.

Kumpulan pemuda itu bertolak dari Jakarta pada 30 Mac lalu selepas tempat kerja mereka menutup sementara operasi susulan penularan wabak Covid-19.

Sebelum tiba ke kampung halaman, ibu bapa sebahagian besar pemuda terbabit telah melaporkan kepada pemimpin kampung berkenaan.

Jakarta adalah lokasi zon merah bagi wabak koronavirus di Indonesia.

Keseluruhan kumpulan itu melibatkan 11 pemuda, bagaimanapun tiga daripadanya telah dibawa keluarga masing-masing untuk kuarantin sendiri di kediaman mereka.

"Mulanya mereka mahu tinggal di rumah yang jauh dari kawasan perkampungan untuk isolasi sendiri, tetapi kerana keadaan rumah tinggal yang tidak sesuai mereka berpindah ke kawasan berhampiran sungai," kata Ketua Kampung Husaini BA.

Setakat Ahad, masuk hari keenam mereka isolasi diri di hutan dan tidur di khemah yang disediakan pihak berkuasa tempatan.

Sehingga kini, keadaan kesihatan semua pemuda terlibat adalah sihat dan dapat menjalani kegiatan harian seperti biasa.

Dua khemah yang dilengkapi dengan tempat tidur telah disediakan pihak pemerintah daerah, manakala keluarga mereka turut menghantar generator.

Daripada dua khemah yang didirikan, satu digunakan ibu bapa mereka yang membantu mengawasi anak-anak mereka, selain menyampaikan perkembangan mereka kepada pihak berkuasa.

Kata Husaini, kedudukan khemah di tepi sungai juga membolehkan kumpulan pemuda itu mengisi masa menjaring ikan. -kompas.com

Aceh, Jakarta, Covid-19, hutan

Artikel Lain