suria

Covid-19: Kilang hasilkan sejuta hand sanitizer akan dibina 10 hari lagi

Kilang tersebut akan dibina bagi menghasilkan sejuta botol cecair pembasmi kuman sebulan.

SEBUAH kilang cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) akan dibina di United Kingdom (UK) dalam tempoh 10 hari lagi untuk menghasilkan sejuta botol cecair tersebut sebulan.

INEOS, salah sebuah syarikat pembuatan terbesar di dunia berkata kilang itu akan membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan cecair tersebut semasa pandemik Covid-19.

Menurut syarikat itu, cecair pembasmi kuman tersebut akan dihasilkan mengikut spesifikasi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi membunuh bakteria dan virus.

INEOS adalah pengeluar utama Eropah untuk dua bahan mentah utama iaitu isopropil alkohol (IPA) dan etanol yang diperlukan bagi menghasilkan cecair pembasmi kuman.

Bekalan cecair itu akan diberikan secara percuma kepada hospital NHS manakala orang ramai boleh mendapatkan cecair tersebut dalam kemasan botol kecil di pasaran.

Jumlah kematian akibat wabak Covid-19 melebihi 15,000 kes di seluruh dunia dengan angka tertinggi dicatatkan di Eropah, iaitu sebanyak 9,197 kematian.

Angka yang dikumpulkan daripada pihak berkuasa itu setakat malam Isnin ialah sebanyak 15,189 kes kematian seluruh dunia.

Itali antara negara yang paling teruk diserang wabak itu dengan 5,476 kematian, diikuti China, tempat wabak itu bermula tahun lalu dengan 3,270 kematian dan Sepanyol sebanyak 2,182 kematian.

Dalam tempoh hanya 24 jam, jumlah keseluruhan kematian di Eropah sebanyak 1,395 kes daripada 172,238 jangkitan yang direkodkan, menjadikannya antara yang paling pantas diserang virus itu. - Dailystar.co.uk

Artikel Lain