Misteri kaset hilang semasa bercuti 26 tahun lalu terungkai dalam pameran seni

Stella menemui semula kaset miliknya yang hilang 26 tahun lalu di sebuah pameran seni. Foto PA

SEORANG wanita yang kehilangan kaset semasa percutian keluarga di Sepanyol pada awal 90an dikejutkan dengan penemuannya sewaktu berkunjung ke sebuah pameran seni di Sweden, selepas lebih dua dekad.

Stella Wedell hanya berumur 12 tahun apabila kaset miliknya yang mengandungi lagu-lagu popular ketika itu hilang, sama ada di Costa Brava atau Majorca.

Antara lagu-lagu popular di dalam kaset tersebut adalah daripada kumpulan Shaggy, UB40 dan Pet Shop Boys.

Dia yakin tidak dapat menemuinya semula, tetapi selepas hampir 25 tahun kemudian, kaset tersebut dijumpai.

Pada 2017, ia ditemui di sebuah pantai sejauh lebih 1,900 kilometer di Pulau Canaray.

Sungguh mengejutkan apabila kaset tersebut masih boleh berfungsi.

Seorang penggiat seni, Mandy Barker dari Leeds yang mahir dalam fotografi marin sedang melakukan pameran pencemaran plastik.

Dia merupakan individu yang menemui kaset tersebut di pantai di Fuerteventura dan menghantarnya kepada seorang pakar pemulihan audio.

Kaset milik Stella ditemui oleh seorang penggiat seni di sebuah pantai. Foto PA

Kaset tersebut kemudian dipamerkan pada pamerannya, Sea of Artefacts.

Stella yang berasal dari Berlin kemudian berkunjung ke pameran itu yang diadakan di Stockholm, Sweden.

Dia melihat senarai lagu pada kaset itu dan menyedari ia adalah miliknya.

"Saya melihat senarai lagu, yang begitu amat biasa dengan saya. Saya kemudian mengambil gambar senarai itu dan membandingkan dengan CD (cakera padat) yang asli dari 1993 yang masih ada.

"Saya sentiasa membuat lagu-lagu campuran dalam kaset dan mendengarnya bersama Walkman saya," katanya.

Kaset itu terus dijadikan sebahagian daripada pameran, sebelum ia dikembalikan semula kepada Stella. - Metro

kaset, pameran seni

Artikel Lain