suria

Koronavirus: India catat kes pertama, sedia bawa pulang rakyatnya yang terjejas di China

Virus itu telah merebak di China dengan 170 kematian. FOTO: BERNAMA.

INDIA melaporkan kes koronavirus pertama ketika negara diletakkan dalam keadaan berwaspada terhadap penularan virus yang mula dikesan di China itu.

Seorang pelajar dari selatan Kerala yang menuntut di Universiti Wuhan, China didapati positif dijangkiti virus berkenaan.

"Ujian terhadap pesakit itu didapati positif dijangkiti novel koronavirus dan kini ditempatkan di wad pengasingan. Pesakit stabil dan masih dipantau rapi," kata Kementerian Kesihatan India pada Khamis.

Kerajaan India menasihatkan orang ramai agar tidak mengunjungi China dan mereka yang pulang dari negara itu perlu sentiasa memantau tahap kesihatan.

Virus itu telah merebak di China dengan 170 kematian dilaporkan dan kira-kira 8,000 orang dijangkiti.

India bersiap sedia untuk membawa pulang rakyatnya yang terjejas oleh wabak itu di wilayah Hubei, China, kata Kementerian Luar Negeri.

Kerajaan turut mengadakan talian bantuan 24 jam untuk menyalurkan maklumat mengenai koronavirus dan pasukan perubatan telah ditempatkan di lapangan terbang bagi menjalankan pemantauan.

Latihan simulasi dijalankan di bandar selatan Chennai bagi menguji tahap persediaan perubatan untuk menangani virus itu. - BERNAMA.

India, koronavirus, China

Artikel Lain