suria

Kecoh...Ingatkan gas bocor, selepas bomba kosongkan bangunan baru tahu rupanya bau raja buah!

PERPUSTAKAAN sebuah universiti di Australia kecoh minggu lalu apabila bau gas dihidu di situ menyebabkan kakitangannya terpaksa membuat panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Punca kejadian pada Jumaat petang itu akhirnya terbongkar sebaik pasukan bomba dan penyelamat tiba di perpustakaan Universiti Canberra.

Keseluruhan perpustakaan itu diarah dikosongkan untuk membolehkan pasukan penyelamat mengesan punca gas itu terhasil di bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, dalam masa sejam, sumber sebenar yang mengeluarkan bau itu dapat dikenal pasti.

"Pasukan bomba telah melengkapkan pemeriksaan dan telah menemui puncanya.

"Perpustakaan berkenaan dapat diguna seperti biasa dan bangunan itu telah diserahkan kepada pihak universiti," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan pasukan penyelamat itu.

Bagaimanapun, pasukan bomba tidak mendedahkan dari mana datangnya bau gas itu, sebaliknya menyerahkan kepada kakitangan perpustakaan universiti itu untuk mengumumkannya.

"Durian", itulah penyebab utama kejadian berkenaan.

Dikenali Raja Buah oleh warga Britain, Alfred Russel Wallace, buah dari Malaysia ini sememangnya mempunyai penggemarnya tersendiri, malahan ia terkenal di China.

Bagaimanapun, baunya yang kuat menyebabkan ia dilarang dibawa ke hotel atau pengangkutan awam di seluruh Asia.

Menurut kakitangan perpustakaan berkenaan, buah berkenaan telah diletakkan berdekatan bolong udara siling di aras dua bangunan dan ia telah dikeluarkan daripada beg.

"Kini dibuka!" demikian posting pada Facebook perpustakaan.

"Gas yang dikesan dalam bangunan adalah selamat, ia daripada durian yang ditinggalkan dalam tong sampah!."

Kejadian ini adalah yang kedua berlaku di perpustakaan sebuah universiti di Australia.

Pada April tahun lalu, kira-kira 600 kakitangan dan pelajar sebuah kampus diarahkan supaya mengosongkan bangunan selepas pasukan bomba menerima panggilan berkaitan kebocoran gas.

Berdasarkan reaksi pelajar di Canberra sebaik mengetahui punca bau berkenaan, nampaknya kakitangan universiti berkenaan perlu membiasakan diri dengan buah itu.

"Saya sungguh gembira ada yang meletakkan dalam tong! hahaha yum yum saya suka durian," demikian reaksi netizen di Facebook.

"Simpan bijinya kemudian tanam mungkin dapat eksport ke China...Durian itu raja!" kata seorang netizen lagi. -SCMP 





durian, Canberra, perpustakaan

Artikel Lain