suria

Diserang bekas kekasih, ibu terharu anak perempuan berani melawan, kongsi gambar selepas serangan

Beata Karchnakova berkongsi gambarnya selepas diserang. -foto BPM

SEORANG remaja perempuan dipuji kerana berani menyelamatkan nyawa ibunya yang diserang oleh bekas teman lelakinya.

Beata Karchnakova, 36, percaya dia akan mati tanpa bantuan anak perempuannya dan kini berkongsi gambar dan video selepas serangan.

Gadis tersebut berulang kali menghalang Safet Hasanovic, 46, ketika lelaki itu cuba menyerang ibunya dengan pisau selama 20 minit.

Hasanovic memecah masuk rumah mereka di UK pada jam 1.47 pagi dan mula menyerang Karchnakova di bilik tidurnya.

Mendengar tangisan ibunya, gadis berusia 15 tahun itu berlari untuk membantu dengan membaling pemanas elektrik kepada lelaki terbabit, menumbuknya dan berdiri di hadapannya.

Safet Hasanovic. -foto BPM

"Dia naik ke atas dan tikam saya. Anak perempuan saya melemparkan pemanas elektrik kepadanya untuk menyelamatkan nyawa saya buat pertama kali.

"Dia kemudian berdiri di antara saya dan lelaki itu ketika dia cuba menikam saya, anak saya juga menumbuknya di muka.

"Ini meninggalkan kesan besar kepada dirinya. Dia hilang semangat, sudah tak ke sekolah kerana dia sangat takut.

"Saya bangga dengannya. Jika dia tak campur tangan saya tak akan berada di sini sekarang, dia sangat luar biasa," katanya.

Hakim turut memuji keberaniannya dan mengesyorkan agar gadis itu menerima ganjaran £500.

Bercakap selepas Hasanovic dijatuhi hukuman penjara selama hampir 11 tahun di Mahkamah Derby Crown, UK, Beata berkata: "Saya harap tak tengok wajahnya lagi kerana apa yang dilakukannya sangat ngeri dan tak dapat dilupakan kami sekeluarga selama-lamanya.

"Dia layak mendapat hukuman atas apa yang telah dibuat tetapi saya harap tak lihat dia lagi selama-lamanya.

"Kecederaan ini memberi kesan besar ke atas hidup saya. Saya tak boleh pegang anak atau jemput anak bongsu saya. Saya tak dapat bancuh kopi, kerana saya tak ada kekuatan untuk angkat cerek," katanya.

Karchnakova cedera serius di kepala, leher, tangan dan kaki selepas serangan itu.

Pendakwa Sarah Slater berkata serangan itu berlaku pada jam 1.47 pagi selepas Hasanovic memecah masuk rumah mereka untuk melancarkan serangan.

Slater berkata: "Polis tak dapat masuk kawasan itu pada mulanya, tetapi mereka dapat lihat melalui pintu.

"Lelaki itu memegangnya dan cuba menikam lehernya. Apabila polis tanya mengapa dia buat begitu, dia menjawab 'wanita itu telah merosakkan hidup saya'. Polis memecah tingkap untuk masuk ke dalam kawasan tersebut dan menahan Hasanovic," katanya.

Karchnakova menerima lapan jahitan di kepalanya, yang mana dua daripadanya perlu digam.

Plat logam perlu dipasang di tangan kanannya. Dia hanya boleh membengkokkan dua jari tangan di sebelah kiri.

Dia juga tidak dapat kembali bekerja sebagai penjaga.

Hakim Bennett berkata: "Rakaman CCTV itu telah ditunjukkan di mahkamah dan ia adalah salah satu rakaman yang paling menyeramkan. Saya rasa malang melihatnya."

Hasanovic juga berdepan tindakan pengusiran apabila dibebaskan. -MetroUK

serang, teman lelaki, anak perempuan

Artikel Lain