suria

Bekas adik ipar terkejut Ibbotson juruterbang pandu pesawat hilang

Ibbotson menerbangkan pesawat ringan dinaiki Sala.

JURUTERBANG pesawat dinaiki penyerang Cardiff City, Emiliano Sala merupakan bekas suami kepada Georgina Gymer yang menetap di New Zealand.

Pesawat ringan yang diterbangkan Dave Ibbotson dari Nantes, Perancis menuju ke Wales hilang dari radar pada malam Isnin.

Operasi pencarian dihentikan pada Rabu selepas pasukan mencari dan menyelamat berdepan kesukaran untuk menjumpai mangsa terselamat.

Adik kepada Gymer, Linda Goodwin memberitahu The Daily Mail bahawa mereka tidak mengetahui Ibbotson berada di dalam pesawat yang hilang itu.

"Ia amat dahsyat, mengejutkan dan kami tiada idea. Dia bekas abang ipar saya. Saya pernah menghadiri majlis perkahwinan mereka.

"Dia dan kakak saya bercerai tetapi mereka mempunyai dua anak. Kakak tinggal di New Zealand dan anak-anak mereka yang sudah dewasa berada di England. Dia (Ibbotson) berkahwin semula," kata Linda.

Seorang lelaki di kediaman Grymer yang terletak di Devonport, Auckland berkata dia enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

Menurut pakar penerbangan, pesawat jenis Piper Malibu itu mungkin terhempas ke laut disebabkan pembentukan ais di sayap pesawat berkenaan.

Pesawat itu hilang kira-kira pukul 8.30 malam Isnin ketika melalui Kepulauan Channel.

Sala baharu sahaja menandatangani kontrak dengan Cardiff City dengan bidaan 15 juta pound sterling.

Sebelum itu, Sala bermain untuk kelab Perancis, Nantes. - Nzherald.com

Dave Ibbotson, Emiliano Sala

Artikel Lain