suria

Warga emas jumpa mutiara bernilai cecah RM16,000 ketika nikmati hidangan tengah hari

Mutiara yang dijumpai oleh Antosh dalam hidangan tengah harinya di sebuah restoran di New York. - UPI

SEORANG lelaki sedang makan tiram untuk hidangan tengah hari di sebuah restoran di New York ketika dia menjumpai sebiji mutiara dalam hidangannya.

Mutiara itu dianggarkan bernilai mencecah ribuan dolar Amerika.

Pelanggan dari New Jersey, Rick Antosh (gambar), 66, berkata, dia makan tengah hari dengan seorang rakan di Oyster Bar Grand Central ketika insiden itu berlaku.

"Saya tiba-tiba rasa tergigit sesuatu seperti gigi dan ia menakutkan.

"Alangkah terkejutnya saya yang ia bukannya gigi, tetapi mutiara," kata Antosh kepada WPIX-TV.


Tambah lelaki itu, dia bercakap dengan pengurus restoran tersebut untuk bertanya sama ada kejadian berkenaan seperti itu selalu berlaku di premis berkenaan.

"Saya bercakap dengan pengurus dan bertanya berapa kerap insiden seperti ini berlaku.

"... dan dia berkata 'Saya belum pernah mendengar kejadian seperti ini terjadi.'," katanya.

Mutiara itu belum dinilai secara rasmi, tetapi pakar menganggarkan ia boleh mencecah antara 2,000 hingga 4,000 dolar Amerika (RM8,342 hingga RM16,684). - UPI

mutiara

Artikel Lain