Marah bekas suami, bayi usia 3 bulan diletak di luar rumah tanpa baju ketika suhu bawah takat beku - Dunia | mStar

Marah bekas suami, bayi usia 3 bulan diletak di luar rumah tanpa baju ketika suhu bawah takat beku

-foto CEN

SEORANG ibu yang naik angin bertindak meletakkan bayinya yang tidak berbaju di balkoni rumah ketika suhu sejuk.

Elizaveta Klimova, usia 20-an, dari Rusia meninggalkan bayi perempuannya yang sedang menangis di luar rumah sebelum mengambil gambar dan menghantar gambar-gambar tersebut kepada bekas suaminya dan bapa kepada bayi berkenaan, Aleksandr Potryasov, 28.

Klimova menulis kepada bekas suaminya: "Datang jumpa dia untuk kali terakhir. Saya letakkan dia di balkoni. Mesti dia sangat sejuk. Dia betul-betul buat saya marah."

Gambar-gambar yang mengejutkan itu yang dikongsi oleh bekas suami Klimova dalam talian, menunjukkan bayi berumur tiga bulan itu sedang menangis di dalam bakul.

Dia memberitahu media tempatan: "Saya menyiarkan gambar-gambar itu untuk menafikan hak penjagaan yang diberikan kepada bekas isteri saya. Selepas ambil gambar itu, saya bimbang entah apa lagi yang dia akan buat kepada anak perempuan saya.

"Saya penat memikirkan dia mungkin akan buat anak itu mati keras atau membuangnya di jalan."

Potryasov berkata dia tidak dapat menjaga anak perempuannya kerana kerjanya terlalu banyak.

Selepas gambar-gambar itu tersebar, Klimova menuduh Potryasov meninggalkan dia dan bayi tanpa wang.

Menurut jiran-jiran Klimova, bekas suaminya meninggalkan mereka berdua selepas anak perempuannya lahir dan berpindah ke bandar Volsk yang berdekatan.

Hubungan pasangan suami isteri itu yang sebelum ini tegang menjadi semakin teruk selepas perceraian mereka, menurut laporan.

Polis menyiasat gambar-gambar itu selepas ia tersebar dalam talian dan kisah itu heboh.

Seorang jurucakap polis berkata: "Selepas memeriksa individu yang terlibat, polis mendapati gambar itu diambil pada Oktober tahun ini. Bayi itu telah diperiksa dan keadaan kesihatannya normal.

"Ibunya didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan didenda."

Suhu di Balakovo boleh turun ke paras bawah takat beku pada Oktober, iaitu pada masa kejadian. -MailOnline

beku , bayi , bekas suami

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel